Ahli Dewan Undangan Negeri Endau, Abd. Latif Bandi tiba dengan memakai t-shirt lokap Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM) tiba di Mahkamah Sesyen/Majistret Johor Bahru hari ini. - 19 APRIL 2017

JOHOR BAHRU – Ahli Exco Ke­­rajaan Ne­geri Johor, Datuk Abd. La­tif Bandi bersama seorang perunding hartanah, Amir Sharifuddin Abd. Raub, 44, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 33 pertuduhan berbeza membabitkan rasuah hartanah bernilai RM30.3 juta.

Kedua-dua mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Mohd. Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima suapan sebagai mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah lot Bumiputera kepada pembeli awam, serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi Projek Eco Botanic, Pulai.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Larkin Perdana di sini antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua diikat jamin RM2 Juta setiap seorang dengan seorang penjamin selain passport antarabangsa mereka diserahkan sehingga tamat perbicaraan.

Mohd Fauzi kemudiaannya menetapkan tarikh 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan, Pengarah Pendakwa Raya SPRM, Datuk Masri Mohd. Daud dan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Amir Nasruddin

Abd. Latif pula diwakili Datuk Hasnal Rezua Merikan bersama Adzly Abd Manas manakala Amir Shariffuddin diwakili Azrul Z Stork

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Endau itu tiba dengan memakai t-shirt lokap Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM) tiba di sini pukul 9.20 pagi.

Wakil media, ahli keluarga dan rakan-rakan beliau mula memenuhi perkarangan kompleks mahkamah di sini sejak pukul 7 pagi.

Abd. Latif sebelum ini dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM200,000 pada 16 Mac lalu selepas direman selama seminggu pada 10 Mac lalu.

Beliau kini bercuti daripada tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak 1 Mac lalu ditahan SPRM berhubung kes itu pada 9 Mac lalu. – MalaysiaGazette.