Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial (JSJK) Bukit Aman hari ini berjaya memberkas suspek utama sindiket skim pelaburan minyak sawit yang memperdaya orang ramai membabitkan kerugian RM31 juta.

Pengarah JSJK, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata suspek kes penipuan pelaburan Crude Palm Oil (CPO) yang didalangi anak-beranak itu berjaya ditahan di Pulau Pinang dan siasatan lanjut akan dilakukan.

“Untuk makluman pasukan JSJK telah berjaya mengesan dan menangkap suspek utama kes pelaburan CPO pada sekitar jam 4.00 petang tadi di sebuah restoran di Pulau Pinang.

“Suspek akan dibawa ke rumahnya untuk pemeriksaan dan rampasan kenderaan,” kata Acryl dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) petang tadi.

Terdahulu, JSJK Bukit Aman telah menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang merupakan anak kepada suspek utama tersebut di Lembah Klang hasil maklumat dan risikan selepas menerima 248 laporan daripada orang awam yang menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan.

Sindiket yang mula aktif sejak tahun lalu itu dipercayai didalangi seorang lelaki bergelar ‘Datuk’, menawarkan pelaburan berasaskan jual beli minyak sawit dengan menjanjikan pulangan dividen sehingga 30 peratus, berdasarkan pakej yang diambil.

Acryl berkata, dalam serbuan berakhir jam 7 pagi itu, pihaknya merampas tiga buah kereta mewah jenis Nissan GTR, Lamborghini Avantado dan Porsche Panamera serta dua motosikal jenis BMW GS R1200 dan Harley Davidson Fatboy.

Turut dirampas adalah wang tunai RM53,035 dan mata wang rupiah 18.8 juta (RM6,230) selain geran kenderaan dan tanah. – Malaysia Gazette