Abdul Latif Bandi

JOHOR BAHRU – Susulan pendakwaan membabitkan rasuah bernilai lebih RM30.3 juta di Mahkamah Sesyen di sini semalam, Datuk Abd. Latif Bandi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor hari ini.

Abd. Latif yang sebelum ini bercuti daripada jawatan beliau bermula 1 Mac lalu, mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu kenyataan kepada media.

“Saya menjunjung setinggi-tinggi kasih ke atas DYMM Sultan Johor dan YAB Menteri Besar Johor kerana telah memberi kepercayaan kepada saya sepanjang saya berkhidmat sebagai anggota pentadbiran kerajaan negeri Johor.

” Susulan daripada pendakwaan yang dibuat ke atas saya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam, saya dengan ini mengambil tanggungjawab untuk meletakkan jawatan sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan itu.

Abd. Latif turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat, rakan-rakan Exco, masyarakat Mersing dan NGO, rakyat berbilang kaum serta pihak yang memberi sokongan kepada saya untuk melalui proses perundangan dengan seadilnya.

“Terima kasih juga atas kerjasama erat ketua-ketua jabatan dan seluruh warga kerja di bawah porfolio beliau di sepanjang perkhidmatannya.

“Saya memohon maaf atas segala salah dan silap dan kekurangan saya sepanjang kita bersama. Semoga Allah SWT jua merahmati jasa baik kalian dan doakanlah saya serta keluarga dapat melalui tempoh sukar ini dengan penuh tabah dan takwa,” katanya.

Terdahulu, Abd. Latif dibebaskan selepas membayar wang jaminan sebanyak RM2 juta yang ditetapkan Mahkamah Sesyen pada 2 petang ini, semalam beliau dihantar ke Penjara Reman Ulu Choh, Pontian dan bermalam di sana.

Abd. Latif, 51, dan perunding hartanah, Amir Sharifuddin Abd. Raub, 44, mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah bernilai RM30.3 juta antara tahun 2013 dan tahun lalu. – MalaysiaGazette.