Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memimpin seorang penduduk Kampung Padang Kerbau, Ghani A. Rahman ketika bertemu penduduk setempat sempena Program Jom Bantu Rakyat di Temerloh. foto SAFWAN MANSOR, 20 APRIL 2017

TEMERLOH – Mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi banjir besar pada 2014 di Pahang mampu menarik nafas lega apabila ada pihak memberi perhatian ke atas nasib malang yang dialami mereka.

Menerusi Program Jom Bantu Rakyat (JBR), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turun padang meninjau nasib beberapa keluarga di Kampung Tenggoh dan Kampung Padang Kerbau di sini hari ini.

Dua keluarga yang kedaan tempat tinggalnya rosak teruk dalam banjir besar itu dibantu menerusi aktiviti pemulihan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Bukan sahaja tempat kediaman mereka dibaiki malah, keluarga mangsa air bah itu turut mendapat perkakasan peralatan rumah seperti perabut dan peralatan elektrik.

Pegawai Kemajuan Negeri Pahang, Datuk Indera Zulkifli Yaacob berkata, program turun padang yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu akan terus dilaksana pada masa-masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob beramah mesra dengan sebahagian penduduk Kampung Padang Kerbau ketika meluangkan masa bertemu penduduk setempat sempena Program Jom Bantu Rakyat di Temerloh. foto SAFWAN MANSOR, 20 APRIL 2017
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob beramah mesra dengan sebahagian penduduk Kampung Padang Kerbau ketika meluangkan masa bertemu penduduk setempat sempena Program Jom Bantu Rakyat di Temerloh. foto SAFWAN MANSOR, 20 APRIL 2017

“Program ini merupakan idea perdana menteri sendiri sebagai usaha membantu rakyat yang berada dalam kesusahan di setiap Parlimen.

“Peruntukannya dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan disalurkan ke negeri-negeri.

“Langkah ini amat bersesuaian kerana ia menggunakan strategi lautan biru (NBOS) apabila melibatkan beberapa agensi kerajaan seperti ATM dan JPAM,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas ditemui pada program Jom Bantu Rakyat di Kampung Tenggoh di sini.

Dalam program itu Najib ditemani isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakub meluangkan masa hampir 40 minit untuk beramah mesra dengan keluarga terbabit.

Mengulas lanjut, Zulkfili berkata, keluarga pertama yang dikunjungi perdana menteri menerima bantuan keseluruhan berjumlah RM26,000 manakala keluarga kedua pula menerma bantuan keseluruhan sebanyak RM11,000.

Katanya, mereka dibantu menerusi langkah membaik pulih kediaman yang rosak selain sumbangan peralatan bagi mengganti perkakasan yang musnah akibat tragedi air bah pada 2014 yang lalu. – MalaysiaGazette