Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KOTA BHARU – Apakah Pas akan mengambil tindakan berani untuk memutuskan hubungan dengan sekutunya, PKR menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)  tidak lama lagi?

Atau apakah Pas hanya mahu main tarik tali dengan PKR supaya tunduk kepada kehendaknya?

Perkara itu menjadi persoalan utama kerana ini merupakan kali kedua tahaluf siyasi parti itu dengan PKR dibincangkan dalam Muktamar Tahunan Pas.

Pada muktamar tahun lalu di Kota Bharu, sayap-sayap parti itu secara terbuka menghentam PKR dan mendesak Majlis Syura Ulama mengkaji semula hubungan di antara kedua-dua parti itu namun sehingga hari ini tidak ada keputusan yang jelas dibuat.

Desakan yang sama diulang semula pada tahun ini oleh sayap-sayap serta di peringkat kawasan malah ada yang membuat keputusan memutuskan hubungan dengan PKR.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut masih tidak memberikan jawapan yang jelas dan memilih jawapan yang selamat.

Katanya, tahaluf siyasi dengan PKR akan menjadi salah satu daripada dua perkara utama yang akan dibincangkan dalam Muktamar Tahunan Pas di Kedah hujung bulan ini.

“Pada pandangan saya, dua perkara ini sahaja yang menjadi isu besar iaitu pertama mengenai tahaluf siyasi dengan PKR adakah akan diteruskan, dikekalkan atau sebaliknya. Kita serahkan kepada keputusan muktamar.

“Yang kedua, apabila PRU-14 diramal akan berlangsung pada tahun ini, sudah tentu menjadi fokus perwakilan untuk berbahas mengenainya. Jadi dua isu ini sahaja yang besar, yang lain tiada,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Kata Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, Pas masih kekal dengan pendirian untuk tidak menjalinkan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan yang diketuai DAP bagi menghadapi PRU-14

“Pendirian kita sudah jelas, tidak ada sebarang perbincangan dan hubungan politik dengan Pakatan Harapan termasuk mengadakan rundingan dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” katanya

Apa yang pasti, Pas sedang berusaha keras untuk mencari jalan selamat dengan mengurangkan jumlah musuhnya sebelum pilihan raya umum nanti.

Pemimpin parti itu sedar PKR juga penting untuk mereka bagi mengekalkan pengaruh di pantau barat semenanjung biarpun ada kumpulan pemimpin tertinggi PKR seperti Rafizi Ramli tidak henti-henti menyakitkan hati mereka.

Pas juga sedar mereka tidak mampu lagi untuk menambah musuh baharu, sudah cukup dengan BN, DAP, PAN dan PPBM.

Justeru, usul untuk mengkaji semula tahaluf siyasi dengan PKR mungkin tidak akan ke mana, hanya sekadar untuk menyedapkan hati akar umbinya.- MalaysiaGazette