Azlan Man

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaburkan sebanyak RM854 juta bagi membangunkan projek Chuping Valley menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

“Itu merupakan pelaburan kerajaan sahaja untuk tujuan membina prasarana di fasa pertama dan belum lagi melibatkan fasa ke dua,” katanya dalam sidang media pada majlis kerajaan negeri Perlis bersama Naza sempena Perlis Marathon 2017 di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri telah melakukan banyak aktiviti pembangunan menerusi perancangan sejak dua hingga tiga tahun lalu.

Katanya, Chuping Valley merupakan perancangan pembangunan terbesar di Perlis yang mendapat kerjasama daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Terdahulu, pada sidang media berkenaan Azlan memberitahu, seramai 11,855 orang telah mendaftar sebagai peserta penganjuran Perlis Marathon 2017 bagi kali ketiga pada 30 April ini di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.

Katanya, jumlah itu sudah melebihi jangkaan sasaran awal iaitu 10,000 penyertaan namun, dibuka semula kepada 12,500 penyertaan.

“Kesemua penyertaan yang sudah ada diterima menerusi permohonan secara online (dalam talian) dan ia sudah ditutup.

“Kita hanya buka 500 lagi permohonan untuk memberi peluang kepada peserta yang mendaftar secara manual,” ujarnya.

Peserta-peserta marathon berkenaan berpeluang memenangi wang tunai berjumlah RM250,000 selain sebuah kereta jenis Kia Peugeot model 408 yang disumbangkan oleh Naza. – MalaysiaGazette