Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jika harga ikan-ikan diramal naik menjelang Ramadan, tidak terkecuali harga sayur.

Para peniaga sayur berkata, kenaikan harga sayur tidak dapat dielakkan disebabkan permintaan terhadap sayur-sayuran meningkat menjelang bulan puasa.

Peniaga Pasar Borong Selangor, Isa Darmin berkata, seperti tahun-tahun lalu harga kobis, lobak merah, cili merah, cili padi kacang panjang, bendi dan kacang panjang akan meningkat.

Ia termasuk sayur-sayur kampung seperti nangka, pucuk paku juga diramal naik.

Isa berkata, sekarang nangka sekilo pun sudah cecah RM5 manakala pucuk paku seiikat dalam RM2 sebab sedang musim hujan.

Tetapi kalau bulan Ramadan, selalunya musim panas dan bekalan pucuk paku sukar, jadi harga yang dibeli dari pemborong pun mahal.

“Kenaikan pada bulan Ramadan tidak banyak bergantung kepada cuaca tetapi permintaan yang meningkat sepanjang bulan itu.

“Orang Melayu walaupun berpuasa tetapi apabila berbuka, mahu makan yang sedap-sedap,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini.

Menurut beliau, pada masa ini harga cili padi, cili merah, timun, kangkung, bayam dan sawi sudah berada pada harga biasa berbanding pada musim hujan dua bulan lalu.

“Macam kangkung, bayam dan sawi hanya RM3 sekilo. Cili merah RM6 sekilo, timun pun tidak sampai RM2, hanya RM1.60 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Ramadan lebih kurang sebulan lagi, pemborong sudah awal-awal maklumkan kepada peniaga.

“Hendak buat macam mana. Dia (pemborong) beritahu kita dengar saja. Bukan boleh beli lebih untuk simpan stok,” tambah beliau.

Bagaimanapun, seorang peladang sayur di Kuala Kangsar memaklumkan turun naik harga sayur ada kaitan dengan bekalan.

Katanya, disebabkan jadual tanaman sayur-sayuran tidak dikawal, peladang-peladang bebas untuk menghasilkan tanaman mereka.

Beliau berkata, ada sesetengah ladang besar mengusahakan tanaman sayur-sayuran dibuat mengikut kontrak dengan pemborong.

Jika mendapat kontrak sayur, maka mereka akan mengusahakan sayur tetapi ada musim-musim tertentu peladang terikat dengan tanaman buah-buahan seperti tembikai.

Apabila ini berlaku, maka bekalan sayur tertentu akan menjadi terhad, lantas menyebabkan bekalan merosot yang memacu kepada kenaikan harga jika permintaan tinggi. – MalaysiaGazette