Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) yang digantung tugas, Tan Sri Annuar Musa tiba di ibu pejabat MARA kira-kira jam 10.30 pagi bagi memberi keterangan kepada Jawatankuasa Audit Dalaman Mara berhubung kontroversi tajaan pasukan bola sepak Kelantan yang dikaitkan dengan beliau. foto MALAYSIA GAZETTE, 25 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang digantung tugas, Tan Sri Annuar Musa, memberi keterangan kepada Jawatankuasa Audit Dalaman MARA hari ini berkaitan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Beliau tiba bangunan MARA kira-kira pukul 10.30 pagi.

Ini merupakan kali pertama, Annuar memberi keterangan kepada Audit Dalaman MARA selepas tiga bulan digantung tugas sejak 31 Januari lalu.

Siasatan terhadap Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu termasuk penajaan Pelaburan MARA Berhad dan Universiti Kuala Lumpur untuk pasukan bola sepak Kelantan.

Annuar sebelum ini dinasihatkan bercuti sementara daripada menjalankan tugas sebagai Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Berhad (PMB) dalam mesyuarat Ahli Majlis Mara. – MalaysiaGazette