Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bergambar kenangan bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (lima kanan), Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (lima kiri) serta sebahagian menteri kabinet sambil memegang plak Forum Bandar Sedunia pada Majlis Pra Pelancaran 'World Urban Forum' di Dewan Serbaguna, Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 26 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Malaysia bakal menjadi negara pertama yang menyediakan platform membahaskan pencapaian Agenda Bandar Baru (NUA) melalui penganjuran Forum Bandar Sedunia (WUF9) di ibu negara pada tahun depan.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesediaan negara menjadi tuan rumah WUF9 mencerminkan komitmen Malaysia dalam pembangunan bandar mampan dan sejahtera.

“Ini selari dengan aspirasi negara melaksanakan Sustainable Development Goals (SDG), Conference Parties 21 (COP21) Paris Agreement dan yang terbaharu penerimapakaian NUA yang telah dipersetujui semasa Persidangan Ketiga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perumahan dan Pembangunan Bandar Mampan (HABITAY III) di Ecuador pada 20 Oktober 2016,” kata kenyataan yang sama.

Sementara itu, Majlis Pra Pelancaran Penganjuran WUF9 telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini hari ini.

Turut hadir Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar dan timbalannya, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

WUF9 akan berlangsung 7 hingga 13 Febuari 2018 bertempat di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur.

WUF9 merupakan forum pertama diadakan selepas HABITAT III yang merupakan persidangan perundangan global yang dianjurkan setiap 20 tahun bagi mengkaji dan menentukan agenda bandar dan wawasan UN-Habitat ke arah masa depan bandar yang lebih baik.

Semua negara terlibat diminta membuat pelaporan perlaksanaan NUAdi negara masing-masing semasa persidangan WUF9.

Malaysia akan menjadi tuan rumah sesi ke-9 yang merupakan bandar kedua di Asia selepas Nanjing China pada tahun 2008.

Ia dijangka bakal menarik jumlah penyertaan seramai 25,000 peserta dengan penyertaan percuma. – MalaysiaGazette