Nazmi Faiz

KUALA LUMPUR – Terjahan keras yang dilakukan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Nazmi Faiz Mansor pada aksi suku akhir kedua Piala FA bertemu Pahang mengundang padah apabila dia digantung satu perlawanan.

Nazmi Faiz juga didenda RM3,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, hukuman itu dikenakan ke atas ‘budak nakal’ itu selepas mereka melakukan penilaian dan meneliti rakaman video insiden terbabit secara terperinci.

“Kami mendapati dia turut melakukan kekasaran dan terjahan pada pemain lawan sewaktu perlawanan suku akhir kedua Piala FA dan memutuskan untuk mengenakan penggantungan satu perlawanan dan denda RM3,000.

“Menerusi penggantungan ini, Nazmi tidak dibenarkan beraksi bagi perlawanan antara JDT bertemu Melaka yang akan berlangsung pada 6 Mei ini,” katanya menerusi satu kenyataan di akaun rasmi FAM, semalam

Menerusi satu kenyataan FAM yang dikeluarkan semalam, bekas pemain tengah Selangor itu turut diberi amaran keras disebabkan tingkah laku tidak profesional apabila enggan bersalaman dengan pemain Pahang sebaik tamat perlawanan suku akhir kedua Piala FA membabitkan dua pasukan itu, Ahad lalu. – MalaysiaGazette