Hamzah Zainuddin

NILAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melantik empat syarikat yang mempunyai kuota tambahan untuk membekalkan bekalan minyak masak paket di kawasan yang dilaporkan kurang bekalan di seluruh negara .

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata lantikan itu bagi membolehkan syarikat berkenaan mengedarkan stok penimbal minyak masak paket bagi mengimbangi kekurangannya di pasaran.

Oleh itu, peniaga dan orang ramai perlu melaporkan kepada kita jika berlaku kekurangan bekalan di sesuatu kawasan kerana kita mempunyai stok penimbal untuk menampung kekurangan tersebut supaya tidak timbul masalah yang berpanjangan, katanya kepada pemberita di sini, Jumaat, selepas merasmikan program ‘Varsity Entrepreneurship Skills & Talents’ (VEST) 2017 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau diminta mengulas mengenai laporan kekurangan bekalan minyak masak paket di sekitar bandar Seremban dan beberapa kawasan lain di seluruh negara.

Hamzah berkata kementeriannya memandang serius isu kekurangan bekalan minyak masak paket dan akan memastikan perkara itu dapat diatasi dengan segera.

“Kadang-kadang ia disebabkan oleh bekalan lambat sampai dan kebetulan pengguna datang ke kedai itu bekalan tidak ada. Jadi, mereka membuat aduan. Adakalanya masalah ini juga disebabkan oleh pengguna membeli dengan jumlah yang banyak untuk kegunaan di majlis kenduri. Perkara itu menyebabkan kekurangan bekalan berlaku di kawasan itu,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada peniaga yang menyorok bekalan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka jika didapati bersalah.

— BERNAMA