Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Malaysia hari ini mengesahkan bekas anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli telah memohon pada 9 Julai pengecualian agar tidak hilang kelayakan bagi memegang jawatan dalam pertubuhan berdaftar di Malaysia.
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, beliau sememangnya mahu mempertahankan kerusi Pandan tetapi langkah tersebut mustahil memandangkan dia telah disabitkan kesalahan dijatuhkan hukuman penjara satu setengah tahun.

Rafizi berkata demikian setelah dicabar perwakilan Pemuda Pas dari Selangor, Mohd Sukri Omar agar bertanding menentang Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

“Saya berasa lucu dengan cabaran itu kerana jika tidak kerana tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang secara berterusan mengheret saya ke mahkamah (sama ada pertuduhan jenayah atau saman sivil), saya sudah tentu akan mempertahankan kerusi Parlimen Pandan,” katanya dalam satu kenyataan.

Cabaran itu dibuat Mohd Sukri dalam Muktamar Pas ke 63 yang sedang berlangsung di Alor Setar kini.

Rafizi menjadi sasaran Perwakilan Pemuda PAS Selangor itu, selepas cuba mengaitkan partinya dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Di Pandan juga, undi Melayu yang saya menangi di peringkat Parlimen Pandan jauh meninggalkan undi Melayu yang dimenangi Naib Presiden Pas, Dato Iskandar Abdul Samad yang bertanding di DUN Cempaka di dalam parlimen saya. Maknanya ada pengundi Melayu di Pandan yang mengundi saya tetapi tidak mengundi Pas.

“Sebab itu adalah sangat lucu apabila Pemuda PAS mencabar saya bertanding di Pandan kerana saya bukannya takut atau mahu lari ke mana-mana!,” kata Rafizi.

Rafizi sebelum ini didapati bersalah atas pertuduhan membongkar Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan bagaimana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak membayar anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan geran kerajaan diambil 1MDB walaupun ia dikeluarkan untuk anak syarikat LTAT.

Rafizi dalam pada itu bertindak terus menyerang Pas yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang didakwa diterima Pas.

“Malangnya ada pimpinan PAS (dulu dan kini) yang lebih selesa menerima wang rakyat terus dari Perdana Menteri, atau lagi selesa menyertai rombongan ke luar negara bersama pimpinan kerajaan, atau lebih selesa hadir dalam majlis Kelab Umno di United Kingdom, atau lebih selesa tidak mengundi di Parlimen bila mana belanjawan yang mengutip GST dan menekan rakyat dibentangkan Najib,” katanya.

Rafizi sebelum ini mengaitkan bekas timbalan presiden Pas, Datuk Dr. Nasharuddin Mat Isa dengan penerimaan sejumlah dana daripada 1MDB. -MalaysiaGazette.