Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan keputusan Pas untuk memutuskan hubungan dengan PKR adalah langkah tepat kerana kebanyakan pemimpin dalam parti itu terlalu ramai yang liberal.

Tajuddin berkata, kedua-dua parti tersebut mempunyai perbezaan ketara dan Pas yang memperjuangkan agenda Islam dilihat tidak kena jika masih mempunyai hubungan dengan PKR kerana bersama DAP yang memperjuangkan kesamarataan agama.

“Sejak dari awal lagi, kita telah lihat perjuangan antara kedua-dua parti politik ini berbeza. Jika agenda Pas memperjuangkan agama Islam. PKR pula seperti DAP yang mahukan kesamarataan agama serta agenda bukan Melayu.

“Macam mana hendak bersama menjayakan matlamat perjuangan jika ia tidak sama. Eloklah Pas putuskan tahaluf siyasi kerana mereka telah sedar, ‘sesat dihujung jalan balik ke pangkal jalan, lebih baik daripada terus sesat’,” kata beliau dipetik dalam akhbar semasa satu menghadiri satu program di Hulu Terengganu.

Menurut Tajuddin, kebanyakan pemimpin Melayu dalam PKR selalu mengeluarkan kenyataan yang liberal, malahan 80 peratus ahli PKR bukan Melayu dan ia pastinya menyukarkan untuk mereka menentukan hala tuju bersama dengan Pas.

“Perjuangan PKR dilihat sama dengan DAP ekoran 80 peratus ahli PKR adalah bukan Melayu dan lebih ke arah agenda bukan Melayu serta bukan Islam, cuma ada 20 peratus sahaja ahli PKR adalah orang Melayu. Macam mana hendak tentukan halatuju.

“Disebabkan takut hilang sokongan politik daripada kaum lain, pemimpin-pemimpin Melayu PKR selalu liberal dalam ucapan atau ceramah mereka, kata-kata itu sebenarnya tanda-tanda mereka (pemimpin Melayu PKR) tunduk kepada ahli yang ramai,” katanya.

Dewan Ulama Pas baru-baru ini meluluskan usul untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR, diikuti oleh Dewan Pemuda parti semasa muktamar yang berlangsung di Kedah tanpa sebarang bantahan. – MalaysiaGazette