Datuk Hamisa Samat

TAWAU – Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Hamisa Samat mengingatkan rakan seperjuangan dalam UMNO di semua peringkat agar mengelakkan budaya politik tidak sihat termasuk amalan lobi melobi yang keterlaluan.

Beliau berkata, memandangkan pemilihan calon akan diadakan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), budaya tidak sihat itu hanya memberi gambaran negatif terhadap parti selain turut akan memecahbelahkan UMNO.

“Menjelang PRU semua mahu jadi calon tetapi berpolitiklah secara sihat, terpulang kepada kepimpinan tertinggi menilai gerak kerja anggotanya yang layak menjadi calon,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam amal anjuran Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia cawangan Tawau di sini, malam tadi.

Menurutnya, yang penting adalah kebersamaan anggota UMNO untuk menghadapi PRU14 akan datang, sekali gus memastikan kemenangan Barisan Nasional.

Hamisa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjong Batu berkata, politik yang stabil merupakan kunci kepada pengekalan perpaduan rakyat di negara ini.

“Berpolitik perlu berpaksikan rakyat kerana kita mahu membantu rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast