Dzulkifli Ahmad

KUALA LUMPUR – Golongan pekerja di negara ini dinasihatikan memastikan gaji atau upah yang diterima tidak diperoleh melalui hasil rezeki yang bertentangan dengan undang-undang, etika dan integriti seperti rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam ucapan sempena sambutan Hari Pekerja 2017, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, sebagai nadi penting kepada pembangunan dan kemajuan rakyat dan negara, para pekerja haruslah memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan negara ini bebas dan bersih daripada anasir rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM menyeru kepada kesemua warga pekerja di negara ini agar terus berdiri teguh bersama SPRM untuk terus bangkit menentang kemungkaran jenayah rasuah dan salah guna kuasa yang boleh membantutkan pembangunan dan kemajuan negara.

“Jenayah rasuah dan salah guna kuasa merupakan penindasan kepada seluruh masyarakat, maka kita perlu bersama-sama berusaha ke arah membina budaya benci rasuah dan
salahguna kuasa dalam kalangan pekerja sekali gus menjadikan negara Malaysia lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dzulkifli juga  menyeru seluruh warga pekerja di negara ini untuk bersama-sama menyokong SPRM bagi menggesa kerajaan agar mengisytiharkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara. – MalaysiaGazette