Zainal Rahim Seman

KUALA LUMPUR – Penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan kehilangan penajaan jika didapati mengkritik kerajaan, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Dalam wawancara dengan Sin Chew Daily, Zainal berkata, tindakan itu adalah wajar dikenakan kepada penuntut jika didapati mereka membuat kritikan yang menjejaskan imej negara melalui media sosial seperti Facebook dan blog.

Beliau berkata, biasiswa diberikan kepada pelajar cemerlang untuk membantu mereka memberi tumpuan kepada pelajaran mereka, bukan untuk mengedarkan maklumat tidak tepat yang memudaratkan kerajaan.

“Kerajaan menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar ini untuk membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pelajaran mereka mengejar ilmu pengetahuan dan menjadi profesional pada masa hadapan.

“Misi mereka adalah untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka. Mengapa mereka menabur fitnah tanpa sokongan statistik untuk merosakkan imej kerajaan?” katanya. – MalaysiaGazette