SHAH ALAM – Protege pilihan, Usop menepati ramalan untuk beraksi pada pentas akhir Mentor Milenia 2017 yang akan berlangsung Ahad depan.
Usop yang juga protege Hazama akan bersaing dengan tigaa protege lain iaitu Syeera (Black) , Along (Tomok) dan Elica (Akim).
Pada peringkat separuh akhir yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini malam tadi, seorang lagi protege Hazama, Balqis gagal ke peringkat.
Peringkat separuh akhir menyaksikan setiap protege mempersembahkan dua lagu iaitu secara solo dan juga duet bersama mentor masing-masing.
Dihoskan oleh Issey dan Marsha, minggu ini turut menampilkan juri jemputan, Misha Omar manakala juri tetap pula adalah Datuk Hattan yang mewakili 50 peratus undian.
Undian penonton di laman web rasmi Mentor Milenia pula adalah 30 peratus dan 20 peratus lagi adalah daripada juri awam.
Sementara itu, populariti mendadak yang diraih Usop, 20, seperti mengulangi kembali fenomena Mawi di program realiti Akademi Fantasia 3.
Ini kerana, Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhd Noor, 20, sering menjadi perhatian penonton itu di pentas persembahan sejak di minggu pengenalan disebabkan faktor vokal yang baik walaupun memiliki kekurangan paras rupa. – MalaysiaGazette