Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (dua kanan) mengatakan sesuatu kepada salah seorang pelukis Komik Travelog, Pami Ismail (dua kiri) sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Lejen Komik, Aisamuddin Asri (kiri) pada Majlis Pelancaran Komik Travelog di Pusat Dagangan Dunia Putra ( PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Pendekatan menggunakan kartun dan komik merupakan kaedah terbaik menyampaikan dasar kerajaan dalam kempen Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya tidak menolak keberkesanan kaedah itu dan apa yang penting ialah mesej itu sampai dan mudah difahami oleh orang ramai.

“Saya tengok sudah ada pendekatan itu contohnya, Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi, di mana saya tengok di Instagram dia, cara beliau adalah satu sentuhan yang baik.

“Saya juga merasakan bahawa ianya lebih mudah disampaikan, lebih santai, rilek dan terus dapat tangkap (pengundi). Yang penting mesej sampai, orang faham, yang itu lebih diutamakan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudyaan selepas Majlis Pelancaran Komik Travelog Siri Aku Datang di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur petang tadi.

Turut hadir dalam majlis sama, Pengerusi Dewan Industri Buku Malaysia, Ishak Hamzah dan Pengerusi Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputera Malaysia (PPPBBM), Datuk Zainuddin Othman.

Terdahulu dalam ucapannya, Mas Ermieyati berkata, Komik Travelog menampilkan kelainan dalam karya kartun dalam komik yang akan membawa pembaca mengembara ke seluruh negeri di Malaysia.

Katanya, karya berkenaan mengetengahkan dialog dalam dialek dalam setiap siri negeri.

“Komik Travelog ini juga diterbitkan dalam bahasa Inggeris, di mana pelancong dari luar negara juga berpeluang untuk mengenali budaya masyarakat kita dengan lebih dekat sepanjang melancong di Malaysia.

“Usaha itu akan dapat merancakkan industri pelancongan negara di samping mencingkil bakat-bakat baharu dalam seni lukisan karikatur,” kata lagi.- MalaysiaGazette