Ahmad Shabery Cheek melawat gerai di Festival Pengenalan Makanan Malaysia 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 05 APRIL 2017.

SERDANG – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mensasarkan jumlah jualan pada Malaysia Food Festival (MFF2017) sebanyak RM30 juta akan dicapai sempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 September depan.

Penganjuran MFF2017 buat pertama kali ini juga katanya bakal mendapat tarikan luar biasa, sama seperti penganjuran Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

“Jualan kita jangkakan RM20 sehingga RM30 juta tidak termasuk jumlah perjanjian jualan yang kita rasakan setiap satu pengusaha ada pengikut (followers) mereka tersendiri.

“Kita sudah mendapat banyak permintaan, tetapi tidak ada jumlah yang tepat, cuma kita akan gunakan Dewan MAEPS A dan C dan ia dijangka akan penuh dengan pelbagai pengusaha makanan,” kata Shabery.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pra Pelancaran HPPNK2017 di MAEPS, Serdang Selangor hari ini.

Menurut Shabery, MFF2017 bukan satu perkara baru kerana terdapat pelbagai negara di dunia ini telah melakukannya.

Malah negara menerusi MFF2017 juga bakal melakar dalam peta Festival Makanan Dunia (FFD) berikutan kepelbagaian makanan yang ada di Malaysia.

“Keunikan sesebuah negara itu bukan dari segi budaya dan cuaca sahaja tetapi makanan, kehebatan makanannya juga menjadi tarikan.

“Malaysia belum ada lagi festival makanan yang boleh diletakkan di dalam peta FFD. Ini pertama kali dan kita akan mulakannya kerana kita patut bangga dengan sebuah negara yang fusion,” katanya.

Mengulas mengenai HPPNK 2017, Shabery berkata, ia akan berlangsung selama empat hari dan mensasarkan 500,000 pengunjung.

Bertemakan ‘our food, our future’ festival yang di gelar mini MAHA bertujuan mengiktiraf wira tani yang meraikan makanan terbaik negara ke satu tahap tertinggi menerusi anugerah yang dipertandingkan.

Ia akan bermula 28 September sehingga 1 Oktober 2017 – Malaysia Gazette.