Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Polis menahan enam rakyat tempatan termasuk penuntut kolej yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan Daesh dalam operasi khas di lima negeri antara 24 Mac hingga 25 April lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tangkapan melibatkan empat lelaki dan dua wanita itu dilakukan di Kelantan, Selangor, Johor, Melaka dan Pulau Pinang.

Dua lelaki ditahan di Kelantan kerana disyaki bersubahat menyeludup senjata api dari selatan Thailand untuk kegunaan anggota Daesh di Malaysia.

Suspek ketiga ialah seorang penuntut kolej wanita yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dilaporkan ke Turki pada 29 Ogos tahun lalu untuk menyertai Daesh di Syria.

Bagaimanapun, beliau ditahan oleh pihak berkuasa Turki pada 5 Februari lalu ketika menunggu arahan daripada Muhamad Wanndy Mohamad Jedi untuk menyusup masuk ke Syria, kata Khalid.

Dua lagi suspek, seorang penganggur lelaki dan seorang wanita, pembantu jurutera kilang ditahan kerana membantu mempromosikan Daesh melalui aplikasi Google Plus.

Suspek terakhir seorang penganggur lelaki yang ditahan pada 25 April lalu di Pulau Pinang kerana aktif mempromosikan Daesh melalui 15 akaun Facebook miliknya sejak tahun 2014.

Kesemua mereka melakukan kesalahan mengikut Bab Vi A – kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747), kata Khalid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast