SPRM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan tanah wakaf di Melaka.

Sumber berkata suspek berusia 66 tahun itu yang merupakan pembeli tanah berkenaan ditahan di pejabat SPRM Melaka pada 12.15 tengah hari tadi.

“Penahanan ini merupakan hasil siasatan lanjut berkaitan kes tangkapan dua individu sebelum ini yang terlibat dalam kes rasuah dan urusan jual-beli tanah wakaf berkenaan,” katanya.

Tanah wakaf tidak boleh dijual-beli.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi Bernama mengesahkan tangkapan berkenaan manakala suspek akan direman esok untuk membantu siasatan kes itu.

Pada Selasa lepas, SPRM menahan bekas pengerusi dan bekas setiausaha jawatankuasa sebuah masjid di Melaka kerana dikatakan terbabit rasuah dalam proses penjualan tanah wakaf masjid berkenaan.

  • BERNAMA