Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mempersoalkan cadangan pengurusan Malaysia Airlines Bhd. (MAB) untuk menggaji kakitangan baharu.

Cadangan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew kerana syarikat penerbangan nasional itu bakal menambah laluan.

Dalam kenyataannya, NUFAM berkata, sekiranya MAB atau pun Khazanah Nasional Bhd., selaku pemilik tunggal syarikat penerbangan itu masih lagi berhasrat untuk menambah pekerja, mereka seharusnya melantik semula 6,000 kakitangan yang telah diberhentikan semasa pelaksanaan pelan pemulihan MAB dua tahun lalu.

“Jika MAB melakukannya (menggaji pekerja baharu), mereka tidak berlaku adil terhadap 6,000 kakitangan MAS yang telah diberhentikan.

“Jika mereka mahu menggaji pekerja baharu, sila ambil semula pekerja-pekerja yang telah diberhentikan.

“Jika tidak, syarikat penerbangan tersebut seharusnya berpegang teguh kepada jumlah kakitangan yang dikekalkan sehingga hari ini (14,000 pekerja) kerana mereka mendakwa angka tersebut mencukupi untuk menjalankan operasi atau mereka sebenarnya keliru dengan pelan mereka sendiri?” soal NUFAM dalam kenyataan yang sama.

NUFAM turut mempersoalkan tindakan menggaji pekerja baharu dari segi kos kerana MAB perlu memberi latihan kepada pekerja-pekerja tersebut berbanding memanggil kakitangan lama untuk berkhidmat semula dengan syarikat penerbangan tersebut.

Tambahnya, rancangan MAB untuk menambah laluan MAS turut mengelirukan kerana ianya patut dirancang terlebih dahulu terutama semasa membentangkan pelan pemulihan syarikat penerbangan tersebut yang bernilai RM6 bilion.

“Sehingga ke hari ini, masih terdapat pekerja terlatih MAS yang menganggur.

“Kenapa ada keperluan untuk menggaji pekerja baharu sekiranya jumlah yang mereka umumkan dahulu sudah mencukupi,” soalnya lagi sambil menambah masih ramai pekerja yang berusia di antara 30 tahun ke atas yang menganggur.- MalaysiaGazette

 

Comments are closed.