BATU PAHAT – Seramai 3,302 pelajar baharu program sarjana muda telah mendaftar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi Semester 1, Sesi Akademik 2026/2027 pada hari pertama pendaftaran, sekali gus memulakan langkah baharu dalam perjalanan akademik mereka sebagai warga universiti.
Kemasukan pelajar baharu itu melibatkan pelbagai bidang pengajian menerusi lapan fakulti, iaitu Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi (561 pelajar), diikuti Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (467) dan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (442).
Selain itu, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (411), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (386), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (381), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (330) serta Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (324).
Daripada jumlah keseluruhan pelajar baharu tersebut, seramai 1,885 merupakan pelajar lelaki, manakala 1,417 lagi adalah pelajar perempuan.
Pendaftaran yang berlangsung di kampus induk, Parit Raja dan kampus Pagoh itu menjadi titik permulaan kepada pembentukan generasi berilmu dan berkemahiran, bukan sahaja dalam aspek akademik, malah turut meliputi pembangunan sahsiah, kemahiran insaniah, kepimpinan serta keupayaan menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali turut menggariskan tiga asas penting yang perlu pelajar jadikan panduan sepanjang menempuh kehidupan di universiti, iaitu hubungan dengan diri sendiri, Tuhan dan masyarakat.
Menurut beliau, pelajar perlu mengenali potensi, kekuatan dan kelemahan diri di samping membina disiplin, mengurus masa serta mempunyai daya tahan dalam menghadapi cabaran kehidupan sebagai mahasiswa.
“Pembelajaran di universiti bukan sekadar di bilik kuliah, tetapi turut membentuk disiplin, pengurusan masa dan daya tahan.
“Kenali potensi diri, bina keyakinan dan terus berusaha menjadi insan yang lebih baik,” katanya.
Dalam aspek kerohanian, beliau mengingatkan pelajar agar tidak mengabaikan hubungan dengan Tuhan dalam kesibukan menimba ilmu dan membina masa depan kerana ia menjadi sumber ketenangan jiwa serta kekuatan dalam membuat keputusan.
“Jangan abaikan tanggungjawab spiritual dalam mengejar kecemerlangan.
“Bagi pelajar Muslim, peliharalah solat, lazimi membaca al-Quran, jaga batas pergaulan dan amalkan nilai-nilai murni sebagai panduan kehidupan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa ilmu yang diperoleh perlu diterjemahkan kepada manfaat yang lebih luas dengan menggalakkan pelajar membina hubungan positif, bekerjasama, saling menghormati serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Ilmu yang diperoleh bukan untuk kepentingan diri semata-mata, tetapi perlu dimanfaatkan kepada agama, bangsa dan negara.
“Libatkan diri dalam aktiviti persatuan dan khidmat masyarakat bagi membina kepimpinan, kerjasama dan keprihatinan,” katanya.
Untuk rekod, pelajar baharu yang mendaftar akan mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) yang berlangsung pada 13 hingga 18 September 2026 sebagai platform memperkenalkan kehidupan kampus, persekitaran akademik serta perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan universiti.
















