Khairy Jamaluddin menyempurnakan gimik pelancaran buku 'Sejuta Jiwa yang telanjang' karya Budiman Mohd Zohdi (dua kiri) di Pentas Utama, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyarankan agar anak muda di negara ini lebih berani tampil ke hadapan menulis apa juga jenis buku bagi mengelakkan ketamadunan rakyat Malaysia tidak berkubur dan direkodkan.

Menurut Khairy, penerbitan buku ini amat penting kepada tamadun sesebuah negara yang boleh menjadi bukti serta sejarah ketamadunan yang bukan hanya sekadar cerita atau oral sahaja.

“Kita kena pastikan segala pengalaman kita sebagai negara bertamadun iaitu Malaysia untuk masyarakat akan datang ditulis dan diturunkan kepada generasi akan datang.

“Kita harap anak muda lebih ramai akan tampil ke hadapan tulis buku tidak kira dalam bahasa apa sekalipun, indie ke, bahasa pasar ke, yang penting kita tulis.

“Angkat pena itu, tulis apa sahaja dalam jiwa dan minda kita, kita juga galakkan anak muda membaca sebab bila kita membaca buku ia akan jadi pentas, jadi peluang bagi mereka menerokai dunia yang mereka tidak kenali,” kata Khairy.

Beliau juga berkata dengan menulis, pemikiran kolektif anak muda akan dikekalkan dan dijadikan khazanah ilmu atau warisan ilmu yang kekal sebagai tanda ketamadunan Malaysia.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya ketika melancarkan buku ‘Sejuta Jiwa Yang Telanjang’ hasil penulisan Budiman Mohd Zohdi sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Tambahnya, berdasarkan laporan Yayasan Pembangunan Buku Negara pada 2015, Malaysia masih lagi jauh ketinggalan dalam menerbitkan judul baharu buku setahun.

“Negara maju yang mempunyai 1,000 judul buku baharu bagi kelompok sejuta penduduk setahun. Jadi Malaysia perlu ada 30,000 buah judul buku baharu kerana kita sudah ada 30 juta penduduk.

“Pada tahun 2015 kita hanya keluarkan sekitar 15,000 ke 17,000 buah buku sahaja. Kita masih ketinggalan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penulisan buku Budiman, Khairy berkata, buku berkenaan mudah difahami isi kandungannya dengan pelbagai bentuk motivasi dan soal perilaku yang baik berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang pelajar dan pemimpin rakyat.

Buku terbitan Lajen Press berkenaan merupakan buku bukan-fiksyen yang diusahakan Budiman sejak tiga tahun lalu mengupas kepentingan pendidikan dalam mengubah nasib anak bangsa dari sudut pandangan beliau.

Turut dimuatkan adalah kisah kehidupan beliau ketika bersekolah, pengalaman bersama guru dan keluarga dijual pada harga RM18 senaskah.

Ia juga boleh didapati di www.lejen.my. – Malaysia Gazette.