FILE PHOTO: U.S. President Donald Trump meets with Saudi Deputy Crown Prince and Minister of Defense Mohammed bin Salman in the Oval Office of the White House in Washington, U.S., March 14, 2017. REUTERS/Kevin Lamarque/File Photo

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha keras untuk memastikan kontrak penjualan senjata bernilai puluhan bilion dolar kepada Arab Saudi berjaya, lapor Reuters dalam laporan eksklusifnya.

Arab Saudi merupakan destinasi pertama lawatan antarabangsa Trump dan merupakan petunjuk terhadap hasratnya untuk mengukuhkan hubungan dengan sekutu-sekutu rapatnya.

Sebelum ini, Amerika Syarikat merupakan pembekal utama kepada kebanyakan keperluan ketenteraan Arab Saudi termasuk jet pejuang F-15 serta sistem-sistem kawalan dan arahan bernilai puluhan bilion dolar.

Trump pernah berjanji untuk merangsang ekonomi Amerika Syarikat dengan menyediakan lebih banyak pekerjaan dalam sektor pengeluaran.

Washington dan Riyadh bersungguh-sungguh untuk memperbaiki hubungan yang sebelum ini tegang di bawah Presiden Barrack Obama berikutan bekas presiden itu menjuarai urusniaga nuklear dengan musuh Arab Saudi, Iran.

Menurut Reuters lagi, program-program Lockheed Martin Co. di dalam pakej tersebut merangkumi sistem pertahanan peluru berpandu, Sistem Terminal Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi (THAAD) berharga AS$1 bilion.

Antara yang dirundingkan adalah sistem perisian C2BMC bagi arahan dan kawalan perang, komunikasi dan satu pakej keupayaa satelit yang semuanya disediakan oleh Lockheed.

Menurut sumber yang enggan dinamakan, rundingan tersebut merangkumi kontrak-kontrak yang pernah dilaporkan sebelum ini seperti pakej AS$11.5 bilion bagi pembelian kapal perang pelbagai misi beserta perkhidmatan dan alat ganti seperti yang telah diluluskan oleh Jabatan Negara pada 2015.

Rundingan diteruskan bagi memperhalusi keupayaan konfigurasi dan rekaan bagi kapal perang yang kompleks itu.

Namun rundingan masih belum di peringkat kontrak akhir.

Wakil kedutaan Arab Saudi di Washington enggan mengulas mengenai perkara ini.- MalaysiaGazette