Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (belakang, tengah) beramah mesra bersama sebahagian pelajar SMC yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM sambil diperhatikan Pengarah Pusat Sri Murugan (SMC), Tan Sri Datuk Dr. M. Thambirajah (belakang, dua kiri) pada Majlis Ulang Tahun ke-35 Pusat Sri Murugan (SMC) di SMK (T) Vivekananda, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan Barisan Nasional (BN) akan terus memastikan teori mobiliti sosial bersifat vertikal dan horizontal tanpa mengenepikan segala perbezaan kaum bagi menjayakan misi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata,pendekatan itu peru bagi untuk memajukan kemudahan dan peluang pendidikan secara saksama.

“Saya sedang cuba memahami soal keperluan pendidikan komuniti India yang mana dalam teori mobiliti sosial, vertikal atau horizontal, pendidikan penting untuk memastikan keluarga, komuniti dan masyarakat berbilang kaum berjaya dalam hidup.

“Dalam soal ini saya rasakan perlunya beri kemudahan dan peluang pendidikan kepada rakyat dan tiba masanya untuk kita mengenepikan kuota-kuota pemisah antara etnik di Malaysia dalam bidang kemajuan pendidikan saksama,” katanya semasa merasmikan Ulang Tahun ke-35 Penubuhan Pusat Pendidikan Sri Murugan Centre (SMC) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Vivekananda di Brickfields hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, kerjasama ibu bapa dan semua pihak menerusi pendidikan penting untuk mencapai mobiliti pendidikan yang diutamakan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Dalam Negeri itu juga menegaskan, mana-mana negara maju di dunia ini tidak mempunyai sistem pendidikan yang mengenepikan mana-mana kumpulan masyarakat begitu juga Malaysia yang bersifat lebih komprehensif dan inklusif dalam perkara itu.

Dalam majlis perasmian yang sama, beliau juga mengumumkan peruntukan tambahan kerajaan berjumlah RM3 juta kepada SMC untuk meneruskan sumbangan dalam membangunkan pendidikan dalam kalangan golongan anak-anak miskin di bandar dan desa komuniti India.

Untuk rekod, setakat ini SMC memiliki 103 cawangan di seluruh negara dan berjaya melahirkan seramai 25,000 graduan berjaya di univerisiti dalam dan luar negara selain membantu nasib pendidikan lebih 250,000 keluarga India.

Dalam perkembangan yang sama, Ahmad Zahid berjanji akan membawa tiga tuntutan yang dikemukakan Pengasas SMC, Tan Sri Dr. M.Thambirajah untuk pertimbangan kerajaan.

Ketiga-tiga tuntutan itu ialah kemasukan pelajar India yang lebih ramai ke empat universiti awam berstatus penyelidikan di negara ini, biasiswa untuk pelajar India yang mendapat 4A+ dan ke atas dalam SPM dan pemansuhan pengambilan secara sistem kuota ke universiti awam, mengakui sumbangan kaum India dan ketiga jaminan kerajaan mempertahankan bahasa, kebudayaan dan bangsa India.

Mengulas mengenai tuntutan itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, ketiga-tiga perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu pada 17 Mei ini untuk dibincangkan.

“Saya berjanji akan membawa tiga tuntutan yang dibangkitkan Tan Sri Tambirajah ke jemaah Menteri untuk dibincangkan,” ujarnya lagi.

Justeru katanya, kerajaan juga akan terus memberi fokus dalam pembasmian kemiskinan bandar dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Dulu masyarakat terbentuk secara sistem berpiramid tetapi kerajaan Malaysia dibawah perdana menteri terdahulu dan sekarang berjaya menukar bentuk piramid kepada bentuk berlian dimana pendidikan membentuk golongan kelas menengah yang berjaya tanpa membezakan dominasi kaya miskin.

“Saya buta warna, kalau kemiskinan mendakapi kaum India, Melayu, Cina atau Iban, ia perlu diatasi dan itulah komitmen berterusan kerajaan BN mensejahterahkan bangsa pelbagai latar belakang di negara ini.

“Nilai latar belakang inilah kita kena pertahankan tetapi minda kita harus terbuka menerima transformasi pendidikan antara latar belakang pelbagai.

“Kombinasi tradisional dan revolusi transformasi akan memastikan sejarah terpelihara disamping maju dalam pendidikan ke arah TN50,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette