Oleh DR AZLINOR SUFIAN

MASIH saya ingat soalan yang dikemukakan oleh salah seorang kenalan di awal tahun pertama saya berhijrah ke Riyadh. Ketika itu saya pulang bercuti musim panas.

“Ada lapangan terbang ke di Riyadh?” “Banyak pusat beli belah ke di Riyadh.”

Saya hanya tersenyum…apakah anda fikir Riyadh ini jauh dari pembangunan? Negara ortodok dan kuno? Saya menyimpan azam untuk berkongsi pengalaman di Riyadh dengan mereka diluar sana tentang kehidupan di negara yang kaya dengan minyak ini. Barangkali polisi tertutup untuk pelancongan di mana visa yang hanya terhad untuk ke Mekah dan Madinah, menjadikan tiada publisiti tentang ibu negara Saudi ini.

Sila namakan semua gedung besar di US dan UK, pasti anda temuinya di sini. Sebut semua restauran makanan terkenal di US (juga UK), ianya terdapat di mana-mana sahaja di sini. Semuanya tiada GST ya.

rombongan

Namun bukan itu tajuk yang ingin tuliskan di sini. Saya ingin berkongsi pengalaman berkhemah semalam di padang pasir. Tempat perkhemahan di Rumah telah dipilih oleh seorang sahabat yang sangat arif tentang selok belok di Saudi.

Rimah atau lazimnya disebut Rumah atau Romah terletak lebih kurang 120 km dari bandar Riyadh. Perjalanan ke Rumah menghala ke utara-timur bandar Riyadh mengambil masa lebih kurang sejam setengah memandu.

Ahli rombongan mengempiskan tayar kereta sebelum merentasi padang pasir.
Ahli rombongan mengempiskan tayar kereta sebelum merentasi padang pasir.

Rawdat Khuraim yang terkenal sebagai kawasan hutan simpan diraja terletak di wilayah Rumah ini. Tempat perkhemahan kami adalah bersebelahan dengan Rawdat Khuraim. Saya pernah menulis tentang Rawdat Khuraim ini di dalam siri  Kembara Riyadh.

Cadangan untuk berkhemah ini timbul apabila berbual dengan beberapa  sahabat saya yang mempunyai minat yang sama.  Maka bermulalah perancangan tapak perkhemahan dan barangan yang perlu dibawa, termasuklah senarai rakan-rakan yang berminat untuk menyertai perkhemahan.

Ada beberapa keluarga yang berminat untuk menyertai namun, senarai akhir ialah sebanyak 12 keluarga.

Ertinya sebanyak 12 buah kereta. Kelucuan dalam persediaan perkhemahan ini ialah apabila kaum bapa secara “berjemaah” membeli barang-barang kelengkapan; dari khemah, “sleeping bag”, kerusi, meja, farwa(jubah tebal orang Arab pada musim sejuk), pam air hinggalah ke tandas bergerak.

Kayu api keperluan perkhemahan di musim sejuk.
Kayu api keperluan perkhemahan di musim sejuk.

Begitu juga bagi yang hobinya berkaitan dengan fotografi, berbagai kelengkapan juga menjadi sebahagian dari persediaan. Teruja sungguh seisi keluarga. Kunjungan ke kedai kelengkapan “outdoor activities” sungguh mengasyikkan.

Saya tak pasti entah berapa kali kaum bapa asyik berulang alik ke kedai ini. Pertama kali saya melihat khemah yang boleh dipasang di atas bumbung kereta, tripod untuk memanggang kambing, periuk tekanan tinggi untuk memasak seekor kambing, lampu lad bertiang, kayu api yang diimpot dan berbagai-bagai lagi.

Peralatan seumpama ini saya pernah temui di kedai menjual keperluan perkhemahan di Australia. Melihatkan kepelbagaian barangan ini, anda boleh bayangkan betapa masyarakat tempatan begitu menghargai aktiviti luar. Kini kami telah menjadi sebahagian dari mereka dan ketagihan berpiknik sangat ternyata.

Pemandangn tapak perkhemahan dari atas bukit pasir.
Pemandangn tapak perkhemahan dari atas bukit pasir.

Kebiasaan masyarakat tempatan ialah membawa kambing yang  masih hidup ke tempat perkhemahan, menyembelih, memproses, memasak dan menikmatinya di situ. Sungguh segar bukan? Hajat asal kami melakukan yang sama terpaksa dibatalkan atas beberapa kekangan seperti keperluan air dan musim sejuk.

Tiba harinya, kami berangkat ke tempat perkhemahan. Oleh kerana cuaca yang dingin, ketua rombongan mencadangkan sebuah kereta yang dipandu oleh salah seorang dari kami hanya membawa kayu api-api semata-mata.

Oleh kerana tempat ini di tengah padang pasir, maka kesemua kereta adalah 4×4. Ketibaan kami di sambut oleh sekawan unta yang begitu jinak dan mesra seolah-olah turut merasa kegirangan kami.

Sementara menunggu kaum bapa mengempiskan tayar sebagai persediaan merentasi padang pasir, kaum ibu dan anak-anak sempat mengambil gambar bersama-sama maskot padang pasir ini. Acara wajib ni.

Kedatangan kami disambut oleh maskot padang pasir.
Kedatangan kami disambut oleh maskot padang pasir.

Perjalanan diteruskan sehingga menemui kawasan yang sesuai buat kami berkhemah. Kehalusan pasir berwarna keemasan menjadikan tempat ini sungguh cantik. Menikmati keindahan alam dipadang pasir yang bersih seluas mata memandang adalah merupakan satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Setelah siap memasang khemah dan membuat persediaan lain yang patut, kami menikmati keindahan matahari tenggelam di padang pasir. Sambil merenung keindahan ciptaan Allah, jauh disudut hati, saya berfikir berapa lama lagikah saya akan hidup menikmati keindahan alam ini setelah usia telah melewati setengah abad dan berapa lama lagikah saya akan hidup kembara di bumi Saudi?

 

Menikmati makan malam.

Menikmati makan malam.

Makan malam kami adalah nasi khabsah kambing yang dimasak di tapak perkhemahan. Keenakannya, sukar ditafsirkan  disini apatah lagi dengan cuaca sejuk yang menjadikan kami cepat lapar.  Sementara itu barbeku seperti sudah satu kemestian, Oleh kerana kesejukan kesemuanya berkumpul mengelilingi unggun api.

Anak-anak berada disatu sudut, asyek menonton wayang padang. Sekali gus mengingatkan saya di zaman kanak-kanak menonton wayang padang yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan sambil minum air milo percuma. Mungkin ada pembaca yang pernah melalui pengalaman yang sama semasa kecil.

Kambing khabsa..enaknya makan berjemaah di malam yang dingin.
Kambing khabsa..enaknya makan berjemaah di malam yang dingin.

Kaum bapa bertugas secara bergilir memastikan keselamatan kawasan perkhemahan. Adalah sangat penting untuk berkhemah dengan satu kumpulan yang besar kerana bimbang diganggu oleh anak-anak muda nakal.

Saya dapati ada kereta peronda yang melewati kawasan perkhemahan kami. Sungguh menghairankan di tengah padang pasir di waktu malam yang gelap masih ada peronda.

Penulis bersama rakan perkhemahan.
Penulis bersama rakan perkhemahan.

Perkhemahan kami berakhir selepas solat zohor setelah semuanya kepenatan dengan berbagai aktiviti yang mengujakan di padang pasir. Kami memastikan tempat perkhemahan ditinggalkan dalam keadaan bersih. Tidak ada sampah yang ditinggalkan kecuali kenangan dan “bahan buangan” yang akan mereput dalam cuaca kering.

Saya ingin mengucapkan terima kasih pada rakan-rakan perkhemahan yang merancang dan menyertai perkhemahan ini dan sebahagian gambar-gambar yang dikongsi adalah merupakan koleksi rakan-rakan lain juga. Untuk melihat perkhemahan ini sila layari Youtube Camping at Rumah Desert, Riyadh Saudi Arabia oleh Haji Raden Ahmad Shauki.

PENULIS merupakan pensyarah di salah sebuah universiti di Riyadh, Arab Saudi.