Mohd. Yusof Abu Hassan diiringi penguatkuasa SPRM ketika tiba di Mahkamah Sesyen Air Keroh Melaka.

KUALA LUMPUR – Bekas Pegawai Khas Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan penggubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan wang berjumlah kira-kira RM19.3 juta.

Mohd. Yusof Abu Hassan, 56, didakwa dengan 15 pertuduhan iaitu 11 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001(Akta 613) manakala empat lagi mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK).

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang dibaca di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan berdasarkan Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, tertuduh didakwa memindahkan wang berjumlah RM 8,188,074.87 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan sejak Mac hingga September 2016 di Melaka.

Sementara itu, berdasarkan pertuduhan mengikut Seksyen 409 KK pula, Mohd. Yusof sebagaiĀ ejen syarikat Taraf Budi Development Sdn. Bhd. dan SP Enterprise Sdn. Bhd. didakwa menggunakan cek-cek syarikat tersebut melibatkan jumlah sebanyak RM 11.2 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sejak Februari hingga Ogos 2016 di Melaka.

Mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi sementara mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang dua tahun hingga 20 tahun dan sebat serta denda.

Hakim Norma membenarkan Mohd. Yusof diikat jamin sebanyak RM1.6 juta dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melapor diri ke pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Mahkamah telah menetapkan 22 Jun 2017 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dan Ahmad Akram Gharib. – MalaysiaGazette