Lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai menerima barangan berharga, wang tunai dan cek daripada beberapa kontraktor dan pembekal ZPP sebagai dorongan kerana memberi projek atau kerja berkaitan program pembangunan membabitkan keperluan asnaf, anak yatim dan golongan memerlukan.

PULAU PINANG 9 Mei – Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP) merupakan antara 11 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) negeri hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek pembangunan masyarakat sejak tiga tahun lalu.

Lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai menerima barangan berharga, wang tunai dan cek daripada beberapa kontraktor dan pembekal ZPP sebagai dorongan kerana memberi projek atau kerja berkaitan program pembangunan membabitkan keperluan asnaf, anak yatim dan golongan memerlukan.

Selain itu, suspek yang sudah berkhidmat sejak 1995 di agensi terbabit dipercayai turut memberikan bantuan permulaan pelajaran dan meluluskan biasiswa tahunan anaknya tanpa melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri.

Menurut Pengarah SPRM negeri, Datuk Abdul Aziz Aban, kesemua mereka ditahan dalam serbuan di lokasi berasingan bermula pukul 7 pagi hari ini hasil risikan sejak Disember tahun lalu.

“Pegawai kanan ZPP itu ditahan di pejabatnya di Bandar Perda, Bukit Mertajam dekat sini kira-kira pukul 10.40 pagi ini.

“Ekoran penahanan itu, kita turut merampas sebuah Iphone 7 dan dua jam tangan berjenama yang dipercayai diperoleh daripada kontraktor,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah beliau, selain pegawai kanan ZPP, turut ditahan ialah 10 individu masing-masing tiga pegawai agensi terbabit berusia 35, 39, dan 40 tahun serta tujuh kontaktor berusia antara 41 dan 52 tahun.

Jelasnya, suapan dalam kes itu merupakan perkongsian keuntungan secara jenayah yang mana semua pihak terlibat sepakat melaksanakan projek pembangunan ZPP menggunakan wang zakat tetapi membahagikan keuntungan mengikut kepentingan peribadi.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan jumlah keseluruhan suapan serta kemungkinan wujudnya individu lain dalam kes ini,” katanya.

Terdahulu, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga kira-kira pukul 3 petang untuk mendapatkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 15 Mei ini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan (b) serta Seksyen 23 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimun lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan. – MalaysiaGazette