Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hadir ke majlis pelancaran buku ‘’Patriotisma dan Toleransi Kaum’.

KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini dinasihatkan agar tidak terus membuat spekulasi berhubung insiden di sebuah masjid di Austin Perdana Johor Bharu, Jumaat lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ashraf berkata, insiden itu langsung tidak menggambarkan situasi sebenar mengenai perpaduan di negara ini.

“Adakah insiden di Johor mencerminkan situasi sebenar negara? Sudah semestinya tidak, bagi saya ia tidak begitu.

“Rakyat harus kekal istiqamah dengan prinsip, rakyat tidak harus mudah tergugat atau mudah dialihkan persepsi mereka kepada insiden-insiden yang tidak menggambarkan majoriti,” katanya kepada media selepas merasmikan pelancaran buku Parlimen Mahasiswa Patriotisma dan Toleransi Kaum di ibu negara hari ini.

Ujarnya, kedua-dua pihak sebenarnya bersalah dalam situasi itu dalam menimbulkan kekecohan berkenaan, namun semua pihak harus mengambil pengajaran dari insiden ini daripada berulang di kemudian hari.

“Saya rasa insiden-insiden tersebut adalah insiden yang bersifat terpencil cuma dalam dunia tanpa sempadan hari ini insiden yang bersifat terpencil mudah jadi viral.

“Sebab itu paling penting rakyat harus kekal istiqamah dengan prinsip, rakyat tidak harus mudah tergugat atau mudah dialihkan persepsi mereka kepada insiden-insiden yang tidak menggambarkan majoriti,” ujarnya lagi.

Sabtu lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan empat lelaki ditahan susulan kejadian seorang lelaki dipukul kerana didakwa membunyikan hon di Masjid Taman Austin Perdana ketika solat Jumaat.

Polis telah menahan empat lelaki berumur 21 hingga 55 tahun pada jam 1 pagi tadi.

Kes kini disiasat mengikut seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. -MalaysiaGazette.