Rais Yatin ketika menyampaikan ucaptama di Pusat Pengajian Luar Universiti Beijing (BFSU), China.

KUALA LUMPUR – Masyarakat Malaysia perlu terus memelihara dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar agar ia dapat dikekalkan menjadi lambang sesebuah bangsa dan negara.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Rais Yatim berkata, pengekalan itu penting kerana bahasa boleh memberikan kesan patriotisme dan pembudayaan mendalam.

“Dalam konteks ini kita boleh melihat bagaimana bahasa Inggeris, Cina (Mandarin), bahasa Perancis, Jepun, Rusia, Jerman dan Korea menjadi bahasa pengantar kepada pembentukan budaya. Bahasa-bahasa ini telah dijadikan bahasa ilmu, bahasa perdagangan dan dalam banyak perkara sebagai bahasa antarabangsa.

“Komuniti yang menjadikan bahasa-bahasa ini sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu menyedari bahawa melalui bahasa, ia boleh memberikan kesan patriotisme dan pembudayaan yang mendalam,” katanya ketika menyampaikan ucaptama “Pencapaian
Budaya Tinggi di Kalangan Masyarakat Malaysia”.

Beliau menyampaikan ucaptama tersebut di hadapan 100 orang yang terdiri daripada penuntut Malaysia, pelajar tempatan, para pensyarah dan kakitangan Pusat Pengajian Luar Universiti Beijing (BFSU), China.

Tambah Rais, ia kontra dengan masyarakat Malaysia yang bergelumang dengan bahasa Inggeris menerusi apa juga dasar bahasa dibuat oleh kerajaan atau keluarga sehingga mereka membawa dan mengamalkan sebahagian daripada pembudayaan Inggeris.

“Ini sedang berlaku dengan jelasnya dalam masyarakat Malaysia sekarang.

Bahasa Inggeris misalnya sudah dipakai dalam komunikasi bahasa Melayu seharian,” ujarnya lagi.

Katanya, jika bahasa Inggeris terus digunakan secara meluas, lama-kelamaan bahasa Melayu akan menjadi sebagai bahasa kedua.

Beliau khuatir akhirnya nanti bahasa Melayu akan hanya jadi bahasa komunikasi antara golongan-golongan yang dikelaskan bawahan dan orang Melayu sendiri tak lagi akan fasih untuk berbahasa Melayu.

Rais berkata, dalam sistem kehidupan berbudaya tinggi, bahasa sebenarnya memainkan peranan yang amat penting kerana bahasa yang tersusun mengandungi unsur-unsur kemanusiaan yang memberi kesan-kesan positif terhadap bangsa atau komuniti.

Bahasa yang mampu menyalurkan ilmu boleh dijadikan bahasa perdagangan dan perhubungan antara kaum, juga mempengaruhi hubungan manusia.

Sebaliknya jika bahasa sesuatu bangsa itu hanya setakat bahasa lingua franca, pembudayaan tinggi sukar dicapai.

“Britain dan Amerika Syarikat telah lama mengetahui rahsia ketamadunan ini. Mereka meneroka dunia dengan bahasa Inggeris hingga menjadi bahasa pembudayaan dunia. Ini bergantung pada azam nasional masing-masing yang di tengah-tengahnya ialah daya
juang rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Transformasi Nasional 50 mesti memiliki penjiwaan budaya tinggi jika ia mahu diterima sebagai piagam perjuangan masa depan.

Begitu juga dari segi perpaduan kaum Malaysia perlu diwujudkan dan diarusperdanakan melalui pelaksanaan dasar budaya tinggi anak Malaysia. – MalaysiaGazette