Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengesahkan Arul Kanda bukan lagi pengerusi Bandar Malaysia.

“Selain penyingkiran Arul Kanda sebagai pengerusi Bandar Malaysia, Lembaga 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri akan terus menguruskan isu-isu berkenaan dengan Bandar Malaysia terus dengan pihak-pihak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau membuat kenyataan itu bagi menjawab laporan The Straits Times tentang dua anggota Jawatankuasa Budiman telah direhatkan daripada tugas masing-masing. Laporan itu diterbitkan semalam.

Johari menjelaskan Jawatankuasa Budiman ditubuhkan oleh Kabinet pada tahun 2015 untuk memantau pelaksanaan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi menangani isu kewangannya.

Menurutnya, beliau berada dalam jawatankuasa itu selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan pada Julai 2015.

Jawatankuasa Budiman bertanggungjawab melaksanakan empat tindakan iaitu melupuskan aset-aset tenaga 1MDB kepada CGN Group dari China, mengaktifkan semula pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) yang kini melaksanakan pelbagai peringkat pembangunan.

Ia juga memuktamadkan bidaan antarabangsa untuk Bandar Malaysia dan meneruskan timbang tara antara IPIC dan 1MDB dalam menyelesaikan pertikaian pembayaran berjumlah AS$3.5 bilion oleh 1MDB kepada IPIC Group.

“Kesemua tugasan ini telah selesai dan Jawatankuasa Budiman sudah tidak mempunyai peranan lagi dan ia ditamatkan sejak itu.

“Hakikatnya, Jawatankuasa Budiman tidak mengadakan mesyuarat sejak enam bulan lalu. Oleh itu, mana-mana laporan yang menyatakan ahli-ahli Jawatankuasa Budiman telah dilepaskan daripada tugas adalah salah dan berniat jahat untuk mengelirukan,” katanya.

Johari menegaskan penyelesaian perjanjian antara 1MDB dan IPIC serta pertikaian antara IWC-CREC dan Bandar Malaysia dikendali dan berada bawah kendalian secara langsung oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Lembaga Pengarah 1MDB. – MalaysiaGazette