NEW YORK – Harga minyak dunia naik lebih daripada 3.0 peratus, dipacu oleh penurunan terbesar seminggu dalam inventori Amerika Syarikat dan sokongan daripada Iraq dan Algeria berikutan lanjutan potongan bekalan minyak oleh OPEC.

Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA) berkata, inventori minyak mentah jatuh 5.2 juta tong minggu lalu, melepasi sasaran 1.8 juta tong yang diramalkan oleh para penganalisis.

Stok gasolin dan sulingan juga jatuh, menyokong pasaran yang telah dijual dalam beberapa minggu kebelakangan ini berikutan inventori Amerika Syarikat melonjak secara berterusan.

Pengeluaran meningkat, bagaimanapun permintaan gasolin sejak empat minggu lalu 2.5 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Brent yang menjadi penanda aras global meningkat sebanyak AS$1.49 setong kepada AS$50.22 setong manakala minyak mentah Amerika Syarikat pula berakhir dengan kenaikan AS$1.45 lebih tinggi kepada AS$47.33 setong.

“Pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat kini teguh melebihi 9.3 juta tong sehari dengan lebih lagi dan produk ditapis, terutamanya gasolin menurun,” kata John Kilduff, rakan kongsi di dana lindung nilai Again Capital di New York.

Harga bahan bakar melonjak semula selepas OPEC bersetuju pada November tahun lalu untuk mengekang bekalan.

Namun, harga minyak kembali merosot sejak beberapa minggu ini berikutan Amerika Syarikat meningkatkan pengeluaran.

Isnin lalu, Menteri Minyak Arab Saudi, Khalid al-Falih menjangkakan had pengeluaran minyak akan dilanjutkan sehingga akhir tahun ini, kemungkinan lebih panjang.

Saudi Aramco akan mengurangkan bekalan ke Asia sebanyak 7 juta tong pada Jun ini.
Syarikat minyak milik Arab Saudi itu sebelum ini telah mengekalkan bekalan kepada pelanggan Asia.

Data penghantaran telah menunjukkan tanda-tanda penghantaran dari negara-negara OPEC jatuh kira-kira 50 juta tong pada April, menurut Thomson Reuters. penyimpanan terapung juga telah mula merosot, termasuk di Singapura. – MalaysiaGazette