Mohamed Azam Mohamed Adil berucap pada Program Muzaqarah Pakar Maqasid Syariah dan Pengharmonian Undang-undang di Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Sebuah tribunal khas bagi menyelesaikan pertikaian hak penjagaan anak melibatkan pasangan Islam dan bukan Islam dicadang ditubuhkan.

Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS) yang yang mencadangkan langkah itu mahu fungsi tribunal khas berkenaan menyelesaikan isu rebutan anak tanpa membawanya ke mahkamah syariah atau sivil.

“Pasangan beragama Islam mahu bawa kes ke mahkamah syariah, manakala yang bukan Islam mahu ke mahkamah sivil.

“Tetapi jika ada tribunal yang melibatkan pihak Islam dan bukan Islam, ia boleh mengurangkan polemik dan pertikaian pihak yang terlibat bagi mengelakkan perkara yang lebih merugikan, terutama kanak-kanak yang terlibat,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Prof Madya Mohamed Azam Mohamed Adil.

Azam berkata demikian mengulas mengenai Rang Undang-Undang Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016, atau Akta 164, yang baru-baru ini ditangguhkan selepas melalui pembacaan pertama di Dewan Rakyat sesi lalu.

Pindaan itu bertujuan menghalang ibu atau bapa menukar agama anaknya secara sepihak serta memberikan kuasa kepada mahkamah sivil menentukan hal berkaitan perkahwinan sivil.

Mengulas lanjut Azam berkata, panel yang menganggotai tribunal itu mestilah dalam kalangan pakar perundangan dalam undang-undang syariah dan sivil.

“Ini memerlukan usaha dan persetujuan melibatkan pemerintah dan (perlu) dimajukan kepada Majlis Raja-raja‚Ķ Mungkin sukar untuk menyelesaikan konflik ini dengan keseluruhan, tetapi ia dapat dikurangkan,” ujarnya.

Cadangan itu dikemukakan Azam ketika membentangkan kertas kerja pada Muzakarah Pakar Maqasid Syariah dan Pengharmonian Undang-undang, anjuran Insititut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.

Beliau berkata, pendekatan mediasi seperti itu dapat mengelak konflik bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah. – MalaysiaGazette