Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyifatkan jika kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak bertanggungjawab sudah pasti negara ini tidak selamat diduduki rakyat pelbagai kaum dan agama.

Tengku Adnan berkata, kerajaan sentiasa menitikberatkan keselamatan rakyat dan sejak memerintah negara sehingga kini perkara tersebut masih menjadi keutamaan serta akan dipegang ke masa depan.

“Kadangkala kita ambil mudah perkara ini, sebaliknya apa yang kerajaan sudah lakukan sejak 60 tahun lalu adalah memberikan perlindungan kepada rakyatnya dan itu tanggungjawab yang masih dipegang kerajaan sekarang ini dan pada masa depan.

“Jika ini kerajaan tidak bertanggungjawab sudah pasti kita tidak ada negara yang selamat, selamat dari segi kamu dapat cari pendapatan untuk hidup, selamat kamu boleh dapatkan pendidikan, selamat kamu boleh pergi ke hospital dan dapatkan rawatan serta pelbagai lagi,” katanya semasa menghadiri Anugerah Pelajar Cemerlang anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan di Dewan Perdana Felda di sini malam tadi.

Tegas Tengku Adnan, jika dibandingkan dengan negara lain yang seusia dengan Malaysia dalam mengecapi kemerdekaan, negara ini lebih baik berbanding mereka kerana rakyat membuat pilihan yang tepat dan bijak memilih kerajaan BN yang sentiasa bertanggungjawab kepada rakyatnya.

“Tapi kita selalunya lupa dengan anggap ia adalah tanggungjawab kerajaan.

“Jika kamu buat perbandingan dengan kerajaan negara lain, kita sebenarnya lebih baik daripada mereka kerana kamu rakyat Malaysia memilih kerajaan yang bertanggungjawab terhadap rakyatnya, itu yang penting,” katanya.

Bagaimanapun, Tengku Adnan tidak faham apabila ramai yang masihmarah kepada parti-parti dalam BN walhal pelbagai kebaikan mereka sudah dilaksanakan.

“Saya tak faham kenapa orang marah kepada UMNO, marah kepada MCA dan marah kepada MIC.

“MCA memperjuangkan sekolah aliran Cina, sama juga seperti MIC yang memperjuangkan sekolah aliran Tamil,” katanya.

Beliau kemudian menekankan supaya rakyat menjaga amanat yang ditinggalkan oleh nenek moyang untuk saling menghormati dan memahami satu sama lain tanpa mengira agama dan bangsa.

“Jika kita tidak bersatu padu, kita tidak boleh hidup dalam dewan ini, kita mungkin bergaduh di jalanan, berlaku perang saudara dan macam-macam akan berlaku tapi nenek moyang kota duduk bersama dan bercakap antara satu sama lain, kuncinya nenek moyang mengajar kita untuk menjadi bersatu

“Bersatu dalam kepelbagaian yang telah menjadikan seperti hari ini (aman),” ujarnya.

Pada majlis malam ini, Yayasan Wilayah Persekutuan memberikan pengiiktirafan dan penghargaan kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam Wilayah Persekutuan yang menduduki UPSR, PT3, SPM dan STPM. – MalaysiaGazette