Bermula esok, semua cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan kembali beroperasi seperti biasa.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pengurusan dana sebanyak RM108 bilion telah disalurkan kepada pengurus portfolio luaran sehingga 31 Disember 2016.

Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 10.36 peratus berbanding RM97.86 bilion pada tahun 2015.

Peruntukan yang dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap mewakili 14.77 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata, sebagai persediaan ke arah menjadi sebuah dana bernilai RM 1trilion, KWSP akan terus menggunakan khidmat pengurus portfolio luaran bagi pengurusan sebahagian dana sejajar dengan inisiatif kepelbagaian
yang diamalkan.

Dengan ini, KWSP dapat memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran pengurus dana luar, sekali gus melengkapi keupayaan pengurusan dana dalaman kami sendiri.

“Kami akan terus meningkatkan pendedahan kepada pasaran yang dilabur, terutamanya dalam bidang aset alternatif dan infrastruktur. Bagaimanapun, mengambil kira ketidaktentuan pasaran semasa dan kelembapan pertumbuhan ekonomi, pengembangan pelaburan kami akan dijalankan secara berperingkat dan berhemah,” katanya di sini.

KWSP kekal dengan objektif pelaburannya untuk mengisytiharkan dividen nominal tidak kurang daripada 2.5 peratus setiap tahun dan pulangan melebihi inflasi tidak kurang dari dua peratus untuk tiga tahun berturut-turut.

Katanya, KWSP juga terus mengamalkan kepelbagaian aset bagi mengurangkan risiko portfolio serta merancang untuk meningkatkan pendedahan kepada pelaburan alternatif supaya mencecah 10 peratus daripada keseluruhan aset di bawah pengurusan.

Sebelum memperkenalkan simpanan Syariah, aset patuh Syariah telah pun merangkumi lebih kurang 45 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP.

KWSP akan meningkatkan pegangan aset patuh Syariah pada kadar sekurang-kurangnya RM25 bilion setahun secara purata bagi memenuhi permintaan ahlinya, tambah beliau.

“Persaingan bagi mendapatkan aset patuh Syariah berkualiti tinggi adalah tidak terhad kepada pelabur dunia Islam sahaja, malah daya tarikannya sebagai kaedah pembiayaan alternatif yang beretika turut menarik perhatian pelbagai dana pencen Barat.

“KWSP memerlukan lebih banyak aset patuh Syariah berkualiti dan mengalu-alukan pengurus dana luaran supaya turut serta dalam usaha kami untuk mengembangkan mandat Syariah,” kata Samsudin.

Pendedahan KWSP kepada pelaburan patuh Syariah meliputi pelbagai kelas aset kini menjangkau 40 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan.

Setakat 31 Disember 2016, KWSP mencatatkan jumlah aset pelaburan sebanyak RM731.11 bilion, peningkatan 6.81 peratus berbanding RM684.53 bilion pada tahun 2015. – MalaysiaGazette