Ahli parti Gerakan Pulau Pinang terdiri daripada Ketua Biro Publisiti Ooi Zhi Yi (kanan); Ketua Pemuda, Jason Loo (tengah) bergambar di hadapan tanah milik rakyat di Lebuh Raya Peel, Georgetown, Pulau Pinang yang didakwa sudah beralih tangan kepada pemaju untuk dibangunkan dengan projek komersial.

PULAU PINANG – Nasib tanah milik rakyat di Lebuh Raya Peel, Georgetown di sini menjadi tanda tanya selepas didakwa dijual kerajaan DAP Pulau Pinang kepada pemaju bagi pembangunan projek komersial.

Bagaimanapun sehingga kini, tiada pengumuman dibuat Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung perjanjian jual beli tanah seluas tujuh ekar (kira-kira tiga ekar) itu.

Sehubungan itu, Ketua Biro Publisiti Gerakan negeri, Ooi Zhi Yi hari ini mendesak kerajaan DAP Pulau Pinang tampil menjelaskan mengenai status tanah tersebut sekali gus merungkai kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini.

Menurut beliau, antara persoalan yang perlu dijawab sekiranya tanah itu benar-benar sudah dijual adalah siapakah pemaju yang berjaya memiliki tanah milik rakyat tersebut.

Katanya, persoalan lain adakah urusan itu dibuat menerusi tender terbuka dan apa pula bentuk pembangunan yang dirancang di atas tanah tersebut.

“Apakah penduduk miskin dan golongan rendah serta sederhana bakal mendapat manfaat daripada pembangunan tanah ini kelak memandangkan ini adalah tanah rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nasib tanah itu sebelum ini dibangkitkan sebuah NGO, Penang Citizens Awareness Chant Group (Chant) yang melahirkan rasa bimbang selepas mendakwa pihaknya menerima maklumat tanah itu akan dibangunkan dengan projek mewah.

Sehubungan itu, Penasihat Chant, Yan Lee berkata, rakyat negeri ini berhak mengetahui mengenai status sebenar projek di atas tanah tersebut selaras dengan dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang kononnya telus berhubung projek berkepentingan awam.

Dalam pada itu, Zhi Yi turut membidas dasar Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) Kerajaan DAP Pulau Pinang yang disifatkan telah mati sekiranya tanah tersebut benar-benar sudah beralih tangan kepada pemaju.

Ini kerana, kata beliau, sehingga kini tiada langsung pengumuman dibuat kerajaan negeri berhubung status tanah tersebut sedangkan perkara berkenaan merupakan kepentingan awam. – MalaysiaGazette