KUALA LUMPUR – Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam membuat laporan polis hari ini terhadap Hindraf dan Pengerusinya, P. Waythamoorthy kerana didakwa biadap.

Mereka mendakwa Hindraf secara berterusan memainkan isu yang boleh mencetus rusuhan dan merosakkan keharmonian negara.

Exco Gabungan Dakwah Malaysia (GDM), Abu Shariz Badr Sarajun Hoda mengadakan sidang media di Balai Polis Tun Dr Ismail berhubung laporan polis terhadap Hindraf yang menyerang pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik.
Exco Gabungan Dakwah Malaysia (GDM), Abu Shariz Badr Sarajun Hoda mengadakan sidang media di Balai Polis Tun Dr Ismail berhubung laporan polis terhadap Hindraf yang menyerang pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik.

Jurucakap kumpulan tersebut, Abu Shariz Badr Sarajun Hoda bersama 14 wakil NGO Islam membuat laporan polis di Taman Tun Dr Ismail di sini mengecam Hindraf dan Waythamoorthy kerana berterusan mempersoalkan kehadiran pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik ke Malaysia.

“Tujuan sidang akhbar ini adalah untuk melaporkan tindakan Waythamoorthy dan Hindraf yang secara provokasi menyebabkan ketidakstabilan dan ketegangan antara penganut agama yang boleh mencetus rusuhan dan merosakkan keharmonian negara Malaysia yang kita cintai.

“Kita percaya bahawa negara sekarang ini sedang diuji oleh sekumpulan kecil mereka yang kita tidak pasti motifnya membuat tuduhan palsu dan berasas terhadap Dr Zakir,” kata Abu Shariz yang juga Exco Gabungan Dakwah Semalaysia (GDM).

IMG_2025Kumpulan tersebut juga membidas Hindraf yang berterusan menyerang Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin hanya kerana jemputan kepada Zakir untuk memberikan khutbah Jumaat di Perlis yang dilihat seolah-olah cuba mencampuri urusan agama lain.

“NGO-NGO Islam ini memberi amaran keras kepada Hindraf dan Waythamoorthy supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal Islam.

“Tindakan mereka ini tidak menghormati institusi Raja dan Perlembagaan negara, ingkari undang-undang dan berlagak sombong serta biadap, tidak mencerminkan kesopanan dan kesusilaan yang termaktub dalam rukun negara,” katanya lagi.

Hindraf sebelum ini tidak berpuas hati dengan jemputan kepada Zakir untuk hadir dalam program dan majlis agama di seluruh negara, ia termasuk jemputan memberi khutbah Jumaat di Perlis pada Januari lalu.

Serangan yang berterusan Hindraf ini disifatkan Abu Shariz sebagai usaha untuk meracuni pemikiran rakyat dan cubaan mengganggu keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

“Pendekatan yang sombong dan biadap ini telah meracuni pemikiran, merosakkan dan mengganggu keharmonian masyarakat,” katany lagi.

Kumpulan tersebut juga menggesa supya pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap Waythamoorthy dan Hindraf kerana boleh menjadi bara api dalam sekam yang mungkin mengundang perbalahan antara kaum dan agama.

“Kami hari ini menggesa supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ketua Polis Negara mengheret Waythamoorthy ke muka pengadilan kerana tindakan beliau yang boleh menjadi bara api dalam sekam yang bakal mengundang perbalahan antara kaum dan agama,” gesa beliau.

Dalam laporan polis hari ini, GDM bersama Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA) yang mewakili 131 NGO Islam seluruh Malaysia sudah sebulat suara membuat ketetapan mengecam Hindraf kerana tindakan mereka yang dilihat cuba mencemari imej agama Islam dan menggugat keamanan negara dengan tuduhan berbentuk hasutan.

Dalam laporan polis dibuat, kumpulan itu mempersoalkan Hindraf yang lantang meminta Zakir dihantar pulang ke India kerana berdepan pertuduhan di sana tetapi mengapa mereka tidak pula lantang meminta seorang jutawan, Ananda Krishnan yang dikehendaki pihak berkuasa negara itu supaya dihantar untuk berdepan pendakwaan.

“Hindraf seolah-olah menjadi agen ekstremis Hindu dengan menjadi jurucakap bagi mereka agar Zakir dihantar pulang tetapi berdiam diri apabila kerajaan India juga mengeluarkan waran tangkap kepada Ananda Krishnan,” kata laporan polis tersebut.

Wakil kumpulan NGO lain yang hadir semasa membuat laporan polis hari ini adalah Pengerusi Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), Jamaluddin Shamsuddin dan Presiden GASMA, Dr Fadlan Mohd Othman.

Hindraf merupakan antara suara lantang membantah kehadiran Zakir, yang dikehendaki Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) atas dakwaan pengubahan wang dan mempromosikan propaganda pengganas. – MalaysiaGazette