Saifudin Nasution Ismail
Saifudin Nasution Ismail

PETALING JAYA – PKR hari ini  ‘mengalu-alukan’ langkah Pas mahu bertahaluf siyasi dengan UMNO seperti dinyatakan mursyidul am parti itu, Hashim Jasin.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pas bebas mengadakan hubungan dengan mana-mana parti dan PKR tidak berhak untuk menyekatnya sama sekali.

“Dia (Pas) bebas bertahaluf dengan siapa seperti mana dia bebas keputusan untuk berkawan dan putus dengan siapa,” kata Saifuddin dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Bagaimanapun, sekiranya langkah tersebut menjadi realiti, Saifuddin berkata, ia menggambarkan pendirian sebenar Pas dalam mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-14 depan dan seterusnya memudahkan rakyat untuk membuat pilihan semasa mengundi nanti.

“Kalau kenyataan itu benar, ia semakin menjelaskan pendirian Pas dalam menentukan sikap menghadapi PRU depan nanti dan membantu rakyat Malaysia membuat pilihan… Pilihan dia undi siapa,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran Pas untuk bertanding 100 kerusi Parlimen, Saifuddin berkata, wujud percanggahan dalam kenyataan dalam kalangan pemimpin mereka sendiri dan PKR hanya menyatakan reaksi selepas keputusan muktamad Pas sahaja.

“Biar ada keputusan jumlah sebenar dia (Pas) nak bertanding,” katanya.

Hashim semalam menyatakan kesediaan untuk bertahaluf dengan UMNO tetapi ia mesti dipimpin dengan prinsip Islam.

“Kita bersedia bertahaluf siyasi bukan sahaja dengan UMNO tetapi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Parti Cinta Malaysia yang menunjukkan minat,” katanya.

Pas sebelum ini turut menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia bagi menghadapi Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.- MalaysiaGazette