S. Subramaniam

PUTRAJAYA – Kira-kira 400,000 penduduk negara ini menghidap hepatitis C yang tiada penawar sebelum ini, kata Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Menteri Kesihatan itu berkata, kini sudah ada ubat yang boleh diperolehi di pasaran bagi memulihkan pesakit tersebut.

“Bagaimanapun, ubat untuk rawatan hepatitis C adalah terlampau mahal dan harga paling rendah yang diberitahu kepada saya ialah RM80,000 untuk rawatan seorang pesakit bagi tempoh 12 minggu sahaja.

“Oleh sebab harga ubat terlampau mahal, kita di KKM tidak mampu memberikan rawatan kepada semua orang melibatkan penyakit Hepatitis C,” katanya selepas merasmikan ‘Program Clinical Trials Day di Institut Kanser Negara di sini.

Hepatitis C merupakan pembunuh senyap kerana pesakitnya tidak menunjukkan sebarang simptom yang membolehkan penyakit itu dikesan.

Simptom seperti jaundis (warna kuning pada mata), penat atau bengkak air (water retention) berlaku apabila penyakit hati, kegagalan hati atau kanser hati semakin serius.

Sementara itu, Subramaniam berkata, kementeriannya telah menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat farmaseutikal Mesir ybagi menghasilkan produk merawat hepatitis C.

Beliau memberitahu, KM akan menggembleng usaha dengan syarikat Mesir itu dan sebuah agensi antarabangsa untuk mengadakan ujian kombinasi ubat untuk mengenalpasti keupayaannya merawat hepatitis C.

Menurut beliau, ujian itu telah dimulakan pada akhir Disember 2016dan keputusan ujian itu akan diketahui dalam setahun ini.

“Jika kita berjaya menemui ubat baharu itu, syarikat berkenaan mungkin boleh membekal ubat dalam negara kita untuk kegunaan merawat penyakit hepatitis C.

“Harga ubat berkenaan jauh lebih rendah iaitu sekitar AS$300 (RM1,200) sahaja untuk seorang pesakit,” ujarnya. – MalaysiaGazette