Mustafar Ali

SEPANG – Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad yang menafikan kerjasama antara SPRM dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam usaha menumpaskan kes rasuah di negeri itu berjumlah RM27.9 juta.

Kenyataan Mohd Fauzi tersebut menafikan kenyataan Mustafar Ali sebelum ini yang mendakwa JIM telah berkongsi maklumat tersebut berhubung pegawai imigresen berkenaan kepada ibu pejabat SPRM Putrajaya yang mendakwa tangkapan tersebut adalah hasil usaha SPRM Kedah selama setahun.

“Saya agak hairan dengan kenyataan (Mohd Fauzi) itu, sedangkan kita memang ada bekerjasama, berkongsi maklumat dengan SPRM. Saya daripada SPRM dan saya bekerjsaama dengan SPRM untuk membanteras gejala tidak berintegriti itu.

“Bila saya kata saya berkongsi maklumat dan kemudian dinafikan oleh Pengarah SPRM Kedah, saya agak terkejut tetapi saya rasa mungkin dia tidak tahu sebab perkongsian tersebut adalah melalui ibu pejabat dan kenyataan yang dibuat adalah di peringkat SPRM negeri,” jelas Mustafar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran penjenamaan semula Kaunter Visa On Arrival (VOA) dan Jointship Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di KLIA hari ini.

Bagaimanapun berikutan percanggahan kenyataan tersebut, Mustafar berkata, beliau dan Mohd Fauzi sedang mengatur satu pertemuan bagi membincangkan perkara tersebut dalam masa terdekat.

“Saya telah menghubungi beliau dan beliau mahu menemui saya untuk berbincang mengenai kenyataan yang dibuat itu. Beliau akan jelaskan kenapa kenyataan dinafikan, sedangkan ada kerjasama dan perkongsian maklumat.

“Beliau bercadang mahu berjumpa dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, SPRM Kedah menahan seorang pegawai Imigresen berusia 37 tahun yang telah dipindahkan ke Padang Besar di Perlis dari Putrajaya awal tahun lepas yang melibatkan rasuah berjumlah lebih daripada RM27.9 juta bersama tiga kontraktor, termasuk individu bergelar Datuk berusia 53 tahun.

Pegawai imigresen berkenaan merupakan pegawai penguatkuasa yang berpangkalan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Padang Besar, Perlis kini sedang direman sehingga 21 Mei depan. – Malaysia Gazette