Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kerajaan menggariskan tujuh langkah bagi menangani kemiskinan bandar berikutan kenaikan kos sara hidup yang akan dilaksanakan secara bersepadu dengan pelbagai kementerian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kos sara hidup yang tinggi di bandar menyebabkan golongan miskin bandar lebih tertekan berbanding kelompok miskin luar bandar.

Langkah-langkah itu akan dilakukan dalam tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang.

Antara pelaksanaan yang bakal dilakukan ialah meningkatkan pengeluaran dalam negara secara optimum dan pengedaran bekalan yang cekap dan berkesan bagi menangani kenaikan harga barang.

Sehubungan itu satu Jawatankuasa Bersama antara kementerian akan ditubuhkan bagi mengkaji kos pengeluaran dan kos di sepanjang rantaian pengedaran bagi mengelakkan manipulasi harga oleh orang tengah.

Kerajaan juga mengkaji cadangan pelaksanaan program bantuan makanan kepada golongan miskin bandar yang melibatkan pelbagai kementerian dengan menggunakan Strategi Lautan Biru (NBOS).

Kerjasama ini akan melibatkan pasar-pasar raya besar dalam menyediakan bekalan makanan sejuk beku kepada golongan miskin tegar di bandar.

“Sekiranya program ini berjaya dilaksanakan, pendekatan ini boleh dikembangkan ke institusi pengajian tinggai awam dan swasta (IPTA/IPTS ) melalui program makanan bermasak yang dijual pada harga berpatutan khususnya di bandar-bandar besar.

“Pelaksanaan program ini akan menggunakan bekas pelajar sebagai operator atau petugas,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tinggi Bagi Menangani Kemiskinan Bandar yang diadakan pada hari ini.

Kerajaan juga akan melaksanakan beberapa program termasuk Program Pembangunan Usahawan, meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam pada kadar yang munasabah, bantuan pengurusan kewangan, latihan kemahiran dan program mentor.

Mewujudkan pusat sehenti di kawasan komuniti miskin yang akan menjadi pusat rujukan kepada pelbagai agensi bagi membantu golongan berkenaan.

Selain itu, melaksanakan kajian pengumpulan maklumat mengenai keperluan bekalan rumah melalui data-data bilangan pemilikan dan penyewaan rumah dilaksanakan bagi memudahkan kerajaan mengenal pasti keperluan rumah dan trend harga rumah yang sesuai berdasarkan lokasi tertentu.

Kerajaan turut mempertimbangkan cadangan pemberian insentif kepada pemaju yang membina rumah mampu milik menggunakan teknologi terkini seperti IBS bagi mengurangkan kos pembinaan rumah, katanya.

Ahmad Zahid menambah, bagi menangani kemiskinan bandar secara komprehensif dan berkesan, elemen-elemen yang menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup di bandar seperti kenaikan harga barangan terutama barang makanan, perumahan dan pengangkutan perlu dikaji terlebih dahulu. – MalaysiaGazette