Reaksi Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim ketika membentangkan dan menjawab pertayaan media pada sidang media Prestasi Ekonomi pada Suku Pertama Tahun 2017 di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim.

Pertumbuhan ekonomi negara itu melepasi jangkaan para penganalisis yang mengunjurkan pengembangan dalam sekitar 4.0 hingga 4.5 peratus sahaja.

Berdasarkan prestasi itu, Bank Negara Malaysia meramalkan ekonomi negara kekal pada landasan untuk merekodkan pertumbuhan lebih tinggi pada tahun ini.

“Bank Negara Malaysia menjangkakan pertumbuhan akan kekal dalam unjuran antara 4.3 peratus dan 4.8 peratus berikutan pertumbuhan kukuh dalam pelaburan swasta dan sektor eksport.

“Jika dua komponen ini terus menunjukkan angka kukuh, kita akan melihat pertumbuhan lebih tinggi,” katanya pada sidang media pengumuman Prestasi Suku Pertama Ekonomi Malaysia di Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Menurut Muhammad, pertumbuhan suku pertama itu dipadu oleh permintaan domestik yang kukuh khususnya perbelanjaan sektor swasta.

Sektor pertanian kembali pulih dengan pertumbuhan 8.3 peratus dan pembuatan 5.6 peratus.

Semua sektor merekodkan pertumbuhan menggalakkan kecuali sektor perlombongan dan pengkuarian (1.6 peratus) dan perkhidmatan (5.8 peratus) manakala sektor pembinaan 6.5 peratus.

Menurut Muhammad, permintaan domestikan akan terus menjadi pemacu utama dalam pertumbuhan pada tahun ini dipacu oleh penambahbaikan dalam eksport memandangkan perdagangan global meningkat.

Berdasarkan asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang 1.8 peratus berbanding suku keempat 2016 pada 1.3 peratus.

Katanya, inflasi bagi suku pertama kepada 4.3 peratus disebabkan oleh faktor kos.

“Faktor penolakan inflasi dipacu oleh kenaikan harga minyak berikutan kenaikan harga minyak mentah dunia, selepas OPEC menghadkan pengeluaran minyak,” kata Muhammad.

Pada suku pertama harga RON95 naik 29 peratus kepada harga purata RM2.53 berbanding harga purata RM1.73 pada suku pertama tahun lalu.

Selain itu, inflasi juga disebabkan kekurangan bekalan makanan akibat faktor cuaca yang mendorong kenaikan harga.

Bagaimanapun, inflasi dijangka sederhana menjelang suku kedua dan seterusnya. – MalaysiaGazette