Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap kepada media selepas selesai Majlis Pelancaran Skuad Puteri Peduli Pergerakan Puteri UMNO di Dewan Perdana Keramat Mall, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani melahirkan keyakinan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi separuh kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) akan datang.

Johari yang juga Menteri Kewangan II berkata, sasaran itu berdasarkan kepada perubahan senario politik semasa dan kecemerlangan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ikut Pengerusi UMNO Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, sasaran kita adalah lebih daripada separuh kerusi Parlimen yang kita boleh menangi.

“Nanti Tengku Adnan akan isytiharkan. Tapi kita sasar lebih separuh kerusi di Wilayah Persekutuan, itu adalah tujuannya,” katanya kepada media selepas merasmikan Skuad Puteri Peduli oleh Pergerakan Puteri UMNO di Dewan Perdana, Keramat Mall hari ini.

Jelas Johari lagi, jentera parti telah mula digerakkan di seluruh Wilayah Persekutuan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran Parlimen oleh kerajaan BN pada bila-bila masa.

Pada PRU-13 lalu, BN hanya memenangi empat kerusi Parlimen iaitu Titiwangsa (Johari Abdul Ghani), Putrajaya (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor), Labuan (Rozman Isli) dan Setiawangsa (Ahmad Fauzi Zahari).

Justeru katanya, yang penting semua pihak dalam parti dan jentera harus memainkan peranan masing-masing dengan turun padang dan mendekati rakyat bagi memastikan kemenangan memihak kepada BN pada PRU-14 akan datang.

“Mana-mana bahagian yang UMNO kalah, rakyat yang akan buat keputusan, Jadi apa sahaja yang kita buat untuk menang kita kena kembali kepada rakyat dan buat kerja kita supaya keluar dari permasalah yang ada di kawasan itu.

“Tapi kalau kita datang untuk bertanding dan tidak buat kerja sebelum kita bertanding, itu agak susah.

“Ini adalah tekanan atau nasihat yang sentiasa ditekankan oleh Presiden UMNO kepada pempimpin parti samada yang sudah jadi Ahli Parlimen mahupun ADUN atau yang mahu menjadi pemimpin, itulah yang kena berkhidmat kepada rakyat,” katanya lagi.

Malah katanya, BN tidak boleh terus putus asa sekiranya gagal memenangi sasaran berkenaan, namun perlu lebih fokus dan teruskan perjuangan mendekati rakyat bagi mendapat kepercayaan rakyat kepada BN.

“Kalah di PRU nanti, tidak bermakna kita kalah berterusan begitu, menang juga tidak boleh jamin kita menang berterusan. Kalau kita memang tapi tidak buat kerja di kawasan, tidak boleh juga.

“Datang tsunami macam mana pun, kalau kita buat kerja dan turun ke kawasan, maka kita akan menang pada PRU-14 akan datang. Rakyat yang akan buat keputusan,” katanya. -MalaysiaGazette.