Kapten Kedah, Khirul Helmi Johari bersama pemain Kedah, Baddrol Bakthiar menjulang Piala FA ketika meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan Pahang pada Perlawanan Akhir Piala FA 2017 di Stadium Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 20 MEI 2017

ALOR SETAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan memberi ganjaran RM20,000 kepada setiap pemain Skuad Helang Merah, selewat-lewatnya Jumaat ini.

Presidennya yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Mad Hanipah berkata, pihaknya akan menunaikan janji yang dibuat sebelum ini kepada pasukan Kedah jika menjuarai Piala FA 2017.

“Ganjaran RM20,000 akan diberikan sebelum Ramadan ini.

“KFA sudah berjanji dan kita akan tunaikannya,” katanya kepada pihak media sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Semalam, Kedah berjaya menjulang Piala FA selepas menundukkan Pahang dengan kemenangan tipis 3-2 di Stadium Shah Alam.

Kemenangan itu menamatkan penantian selama sembilan tahun bagi melengkapkan koleksi ke empat selepas juara pada musim 1996, 2007 dan 2008. – MalaysiaGazette