Home Nasional Perintah berkurung di ESSZONE dilanjutkan

Perintah berkurung di ESSZONE dilanjutkan

KUALA LUMPUR – Perintah berkurung di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini dilanjutkan lagi selama dua minggu mulai esok.

Tempoh itu dikuatkuasakan mulai 6 perang hingga 6 pagi pada 7 Jun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, perintah itu dikuatkuasakan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di tujuh daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak,  Beluran, Kinabatangan dan Sandakan.

Menurutnya, perintah berkurung itu diteruskan bagi fasa ke-67 dalam memastikan perairan itu tidak diceroboh oleh pengganas.

Ini kerana maklumat mendapati ada kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf masih menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

“Pelaksanaan perintah berkurung ini memudahkan penguatkuasaan dan pemantau pergerakan bot serta mewujudkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan aktiviti perikanan dengan kehadiran pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai di daerah tersebut tidak berada di lokasi yang diisytihar sebagai kawasan perintah berkurung.

Bagaimanapun, beliau memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah terbabit untuk mengeluarkan permit kepada pemohon-pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung ketika terdesak,” katanya. – MalaysiaGazette