Motor-motor jenis Yamaha yang dirampas daripada lapan suspek di sekitar Ampang.

AMPANG – Biasanya kalau kenderaan curi yang ditemui semula semuanya sudah ‘barai’ namun kali ini kepantasan polis berjaya merampas semula enam motosikal curi dalam keadaan elok.

Polis juga menahan lapan lelaki dan percaya dapat menyelesaikan lapan kes curi motosikal dan 10 kes ragut di Ampang.

Menurut satu kenyataan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, segala-galanya bermula selepas seorang suspek ditahan oleh orang awam di Kampung Baru Cina Ampang bersama sebuah motosikal Yamaha.

Susulan itu, polis telah melancarkan operasi bersepadu yang membawa kepada penangkapan tujuh lagi lelaki dan merampas enam buah motosikal Yamaha 135LC yang dipercayai dicuri di sekitar Ampang, Ampang Jaya dan Kuala Lumpur.

Kesemua nombor pendaftaran motosikal yang telah dirampas itu telah diubah kepada nombor pendaftaran palsu bagi menyukarkan daripada dikesan oleh pihak polis.

Polis turut menemui sebuah rangka motosikal yang mana nombor chasis telah dirosakkan di kawasan Bukit Ampang dan sebuah enjin motosikal Yamaha 135 LC di salah sebuah rumah suspek di kawasan Taman Dagang Jaya, Ampang.

Turut dirampas beberapa peralatan disyaki digunakan bagi mencuri motosikal seperti tukul, pemutar skru, spanar dan Ellen Key yang telah diubah suai untuk mengumpil kunci motosikal.

Barangan lain seperti beg tangan, dompet dan juga beberapa resit pajak gadai turut dirampas di rumah salah seorang saspek yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan samun dan ragut di kawasan Ampang Jaya.

 

Antara barangan yang dirampas daripada lapan suspek.

Kumpulan itu yang terdiri daripada mereka yang berusia antara 20 hingga 33 tahun tidak mempunyai perkerjaan tetap dan dipercayai telah terlibat dalam kegiatan jenayah untuk menampung perbelanjaan harian dan juga mendapatkan bekalan dadah.

Semakan ke atas kesemua suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan (mencuri motosikal) manakala tiga lagi  suspek terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek juga mendapati dua daripada mereka positif dadah.

Polis IPD Ampang akan memanggil pemilik-pemilik motosikal dan rampasan-rampasan lain seperti beg tangan dan dompet untuk pengecaman dan pengesahan. – MalaysiaGazette