Phil Jones

MANCHESTER – Phil Jones mempertahankan dirinya telah bermain dengan baik pada keseluruhan musim ini terutama selepas pulih daripada kecederaan.

Bagaimanapun dia menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Jose Mourinho sama ada mahu memilihnya untuk beraksi di pentas final Liga Europa.

“Kami perlu menang. Secara ringkasnya, satu pasukan akan menang dan satu pasukan akan kecewa. Ia adalah satu detik bersejarah dalam musim kami dan kami perlu memastikan kami menang.

“Kami mahu beraksi di pentas bola sepak Liga Juara-Juara. Kami akan melakukan segala-galanya untuk memenangi permainan.

“Kami tahu maklamat utama kami adalah untuk ke Liga Juara-Juara tetapi kami perlu mendapatkan hak itu dengan memenangi perlawanan pada malam Rabu (awal pagi Khamis),” katanya.

Pemain berusia 25 tahun itu menambah United berpeluang untuk memenangi Liga Europa.

Katanya, pasukannya perlu menunjukkan kemampuan dan membuktikan bahawa mereka adalah terbaik berbanding pasukan lawan.

“Saya lebih bersedia untuk menyesuaikan diri dengan apa sahaja yang pengurus putuskan,” katanya.

“Dia mempunyai 11 keputusan yang sukar untuk dibuat (pilihan kesebelasan utama) tetapi apa yang saya katakan selama ini bahawa sesiapa sahaja yang terpilih untuk bermain akan melakukan kerja yang terbaik lebih daripada kemampuan mereka,” katanya.