Khairy Jamaludddin.

KUALA LUMPUR – Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana tidak hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala FA, Sabtu lepas.

Tunku Mahkota Johor itu bertitah, selaku menteri dan wakil rakyat, Khairy seharusnya berkhidmat untuk negara khususnya institusi yang bernaung di bawah kementeriannya dan bukan berkhidmat bagi kepentingan peribadi.

“Dikhabarkan beliau terlibat dengan program Askar Wataniah pada malam perlawanan Piala FA tersebut. Pada saya, sekiranya program Askar Wataniah lebih menjadi keutamaan, adalah lebih baik beliau menjadi askar wataniah daripada menjadi Menteri Belia dan Sukan.

“Janganlah hanya memilih untuk pergi ke aturcara yang anda pasti akan menjadi tumpuan majlis tetapi apabila sebaliknya, tidak mahu pergi kerana sudah tahu anda tidak menjadi tumpuan,” tulis Tunku Ismail di Facebook Johor Southern Tigers.

Baginda bertitah, perlawanan antara Kedah dan Pahang di Stadium Shah Alam itu dihadiri kerabat diraja Kedah, Johor dan Pahang, tanpa kelibat Khairy selaku menteri sukan.

“Kalau setakat mahu menjadi popular, lebih baik menjadi selebriti, bukannya memegang jawatan sebagai seorang menteri atau ahli politik,” tegas baginda yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Teguran itu juga ditujukan kepada semua ahli politik agar lebih kerap turun padang dan berkhidmat untuk rakyat.

“Bukannya mengira berapa banyak ‘followers’ di laman media sosial. Ini bukan pasal soal sukan dan bolasepak sahaja tetapi ini adalah tanggungjawab dan amanah kesemua ahli-ahli politik dalam negara,” titah baginda lagi.

Dalam perlawanan Piala FA Sabtu lepas, Kedah berjaya menundukkan Pahang dengan jaringan 3-2.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Cawangan Kampung Apal, Mohd. Iskandar Jaafar menerusi status di Facebooknya memberikan reaksi terhadap status TMJ itu dengan berkata, Khairy tidak perlu menjadi popular kerana beliau sendiri sudah nama dan sering menjadi ikutan golongan muda.

“Tak perlu pentas bola sepak… tak perlu menumpang nama orang lain, malah tak sekali-kali cemas popularitinya hilang jika duduk sebelah menyebalah dengan orang lain yang lebih besar.

“Hardworking, agressive dan proactive antara perkataan yang meggambarkan cara beliau bekerja. Dengan tanggung jawab sebagai Menteri Kabinet hari ini sudah pasti memerlukan seluruh kekuatan lahir batinnya dlm menggalas amanah.

“Maka apa sangatlah jika beliau tidak hadir menonton sesuatu perlawanan bola sepak berbanding tugasnya jauh lebih besar daripada sebuah perlawanan,” katanya.

Tambah Mohd. Iskandar, tugas yang digalas oleh Khairy sebagai seorang menteri bukan hanya berkisar kepada sebiji bola di tengah padang sebaliknya, beliau mampu melihat ia dengan jelas dan berani.

Katanya, apa pun Pergerakan Pemuda UMNO melihat dan menilai Khairy dengan penuh semangat setiakawan kerana Pemuda UMNO itu sendiri sebenarnya adalah Khairy Jamaluddin. – MalaysiaGazette