Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Polis tidak akan menutup kes kehilangan misteri paderi Raymond Koh Keng Joo walaupun sudah 100 hari ia berlaku, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

Ketua Polis Negara itu memberitahu, pada minggu lalu polis berjaya menahan seorang suspek di utara tanahair untuk membantu siasatan kes tersebut.

Suspek itu dipercayai boleh membantu siasatan polis dalam menjejaki paderi yang dilaporkan hilang sejak 13 Februari lalu, katanya.

“Kes paderi yang disyaki dilarikan itu masih dalam siasatan polis dan kita juga menangkap seorang suspek di utara Malaysia dipercayai boleh membantu siasatan polis,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim merasmikan Program Derma Darah bersempena Peringatan Hari Polis ke-210 di Dewan Theatrette.

Pada perkembangan sama, beliau juga menolak dakwaan orang ramai kononnya kes kehilangan Raymond kononnya tidak diambil serius oleh pihaknya dan siasatannya ditutup.

“Itu tak betul, tidak ada mana-mana kes yang ditutup begitu sahaja, semua kes berkaitan hilang atau dilarikan semestinya disiasat polis.

“Pada awal laporan kehilangan Raymond banyak sangat gangguan kepada polis mengakibatkan banyak kecacatan dalam siasatan.

“Oleh itu biar polis menyiasat kes ini dulu dan pihak di luar sana jangan sesuka hati membuat publisiti tanpa sebarang bukti,” jelas beliau.

Selain itu beliau juga mengesahkan polis tidak bertindak berat sebelah dalam siasatan kes itu sebaliknya juga mengambil serius laporan mengatakan Raymond memurtadkan orang Islam.

Dalam perkara berkaitan, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melemparkan tuduhan sebarangan ke atas polis kononnya pihak berkuasa terlibat dalam kehilangan Raymond.

“Jangan tuduh sebarangan, kita nak bukti yang menyokong tuduhan itu,” katanya lagi sebagai mengulas tiga aktivis yang menuduh sedemikian.

Sambung beliau, ketiga-tiga aktivis itu kini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan menggemparkan dalam kes tersebut.

Sejak tahun 2012 lagi, polis telah menerima sebanyak 26,600 laporan kes orang hilang yang mana 6,600 kes masih belum diselesaikan dan sebanyak 15.7 peratus daripadanya adan kes hilang bawah umur 18 tahun manakala 19,000 kes lagi melibatkan dewasa.- MalaysiaGazette